Mekanik maut kereta rempuh tiang pagar rumah

MARANG: Seorang mekanik maut selepas kereta dipandunya dipercayai hilang kawalan, sebelum merempuh tiang pagar sebuah rumah di Kampung Binjai Bongkok, Jalan Bukit Payong-Rawai di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, Muhammad Aliff Haiqal Azrul, 22, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di muka dan dada.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Ismail Man, berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa memandu kereta jenis Proton Perdana dari Kampung Rawai untuk pulang ke rumahnya di Kampung Tok Kaya, Chabang Tiga di sini.

Katanya, sejurus tiba di lokasi kejadian kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan, sebelum merempuh peti air batu di luar kedai dan tiang pagar sebuah rumah.

“Akibat rempuhan kuat itu, mangsa yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai, Zulkifli Md Akhir, berkata sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi sebaik menerima maklumat mengenai kemalangan itu.

“Sejurus tiba di lokasi, anggota bomba mendapati terdapat seorang mangsa tersepit di bahagian tempat pemandu sebelum kerja mengeluarkan mangsa dijalankan.

“Anggota mengambil tempoh kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas. Mayat mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya.

The post Mekanik maut kereta rempuh tiang pagar rumah first appeared on Wowberita.

via Wowberita

Post a Comment

0 Comments