Pemandu treler maut terperosok bawah kontena

TANJUNG MALIM – Pemandu treler maut dalam nahas membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer (KM) 381.3 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan tengah malam tadi.

Pemandu treler, Mohd Khairuddin Md Taharim , 44, dan beralamat di Bukit Beruntung, Selangor meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kenderaan lain tidak mengalami kecederaan.

Kemalangan membabitkan dua treler, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), sebuah kereta, dua lori dan ambulans.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir, berkata pihak polis menerima laporan kejadian kira-kira jam 12.11 tengah malam tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Ipoh menuju ke Kuala Lumpur.

“Tiba di tempat kejadian, treler yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan bergesel dengan sebuah lagi treler menyebabkan treler yang dipandu mangsa terbabas di bahu jalan.

“Kemudian datang SUV Nissan X-trail dari arah sama berhenti mengejut tetapi dilanggar oleh kereta dari belakang.

“Sebuah lagi lori yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak kon sebelum melanggar tiga lagi kenderaan dan akhir sekali kenderaan yang dipandu mangsa,” katanya.

Mohd Hasni berkata akibat kejadian itu sebuah lori melintang di tengah jalan manakala kenderaan yang dipandu mangsa pula melintang sehingga menutup lorong kiri dan bahu jalan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu BERNAMA melaporkan menurut Twitter PLUS, kemalangan itu menyebabkan kesesakan sejauh empat kilometer berikutan kesemua lorong terhalang dan kerja-kerja pengalihan kenderaan terbabit kemalangan sedang dilakukan.

The post Pemandu treler maut terperosok bawah kontena first appeared on Wowberita.

via Wowberita

Post a Comment

0 Comments