BAYAN LEPAS – “Tiga hari lalu, saya bertanya kepada suami sama ada dia sudah memilih nama kepada bayi lelaki yang dijangka lahir pada 27 Julai ini.
“Namun suami cakap belum ada nama bagi bayi kami dan biarlah anak ketiga itu lahir dahulu.”
Begitu kata Norhanazielah Hanazi, 28, isteri kepada Allahyarham Muhamad Eizreel Muhamad Roszaidi, 25, yang maut dalam kemalangan membabitkan motosikal di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, awal pagi semalam.
Norhanazielah yang juga suri rumah berkata, suaminya bekerja sebagai penghantar barang dan ejen insurans selepas diberhentikan kerja sebagai pembantu kedai berikutan pandemik Covid-19.
Katanya, arwah juga teruja dan tidak sabar bagi menyambut kelahiran bayi mereka serta turut membeli pakaian bayi.
“Kami mempunyai dua cahaya mata perempuan, sudah tentulah dia tidak sabar menimang bayi lelaki pula.
“Arwah baru saja terima gaji dan dia berjanji membawa saya membeli kelengkapan bersalin, semalam. Namun tidak sangka dia terbabit nahas.
“Saya difahamkan ketika kejadian, dia berhenti di bahu jalan bagi membantu kemalangan kecil sebelum dirempuh penunggang motosikal lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bayan Baru, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Norhanazielah berkata, arwah suaminya tidak meninggalkan pesanan namun menunjukkan sikap penyayang dan mahu mengambil cuti bagi membawa keluarga bersiar-siar.
Katanya, arwah memang ramai kenalan berikutan seorang yang kelakar dan gemar mengusik.
“Saya akan pulang bersalin di kampung di Kuala Kangsar, Perak dan berpantang di sana serta akan menjaga tiga anak termasuk yang akan lahir dengan sebaiknya.
“Saya belum ada perancangan selepas itu dan biarlah masa yang menentukan, cuma diharap orang ramai berhenti membuat tuduhan serta mendoakan kesemua mangsa yang terkorban nahas.
“Memang saya tersinggung dengan kecaman tambahan pula keadaan saya yang berbadan dua, namun semuanya biar saya sahaja yang tahu,” katanya yang sudah lapan tahun mendirikan rumah tangga bersama Muhamad Eizreel.
Jenazah Muhamad Eizreel selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda di Sungai Ara, selepas solat Isyak malam tadi dan dihadiri kira-kira 200 kenalan termasuk ahli keluarga.
Terdahulu Harian Metro melaporkan tiga penunggang motosikal maut di lokasi nahas manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pulau Pinang.
Keseluruhan empat terkorban dalam nahas itu manakala tiga lagi sedang dirawat di hospital yang sama.
Mangsa yang maut ialah Muhamad Eizreel, Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19, Mohd Syazwan Hakim Mohd Abdul Sani, 22, dan Muhammad Harith Zikri Yusnizar, 17.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kemalangan itu dipercayai berpunca daripada beberapa motosikal yang disyaki menyertai aktiviti lumba haram.
Beberapa penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain.
The post Suami maut kemalangan, tak sempat tatap wajah anak ketiga first appeared on Wowberita.via Wowberita
0 Comments