KEMAMAN – Pasangan guru maut dan tiga anaknya cedera selepas kenderaan serbaguna (MPV) yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer 274, berhampiran susur keluar Plaza Tol Cheneh, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang, Arbain Baharudin, 47, dan isterinya, Rosmayati Bakar@Lalar, 48, yang merupakan guru di Sekolah Menengah Agama Persekutuan, Kajang, Selangor meninggal dunia di lokasi kejadian selepas cedera parah di beberapa bahagian badan.
Tiga anak mereka, Farah Najwa, 20, Fatin Najla, 10, dan Faikal Nabila, 8, masing-masing mengalami kecederaan di tangan, kaki dan muka.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, ketika kejadian, mangsa sekeluarga yang tinggal di Kajang dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampung mereka di Kampung Gelugor, Kerteh, selepas menghantar salah seorang anak lelakinya di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila Toyota Estima yang dinaiki mereka dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu, tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.
“Kenderaan tersebut kemudiannya turut berpusing beberapa kali ke arah kanan jalan sebelum terhenti di pembahagi lebuh raya,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini petang tadi.
Hanyan berkata, impak pelanggaran tersebut menyebabkan pasangan suami isteri tersebut tercampak lima hingga 10 meter dari kenderaan mereka.
“Ketiga-tiga anak mangsa yang cedera telah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk menerima rawatan manakala mayat mangsa telah dibawa ke unit forensik hospital sama untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
The post Pasangan guru maut, tiga anak cedera dalam nahas di LPT2 first appeared on Wowberita.via Wowberita
0 Comments