BEKAS pemain bass pertama kumpulan XPDC (Tragedy) serta Meditasi dan Garuda, Man Tobey, 58, menghembuskan nafas terakhir tengah malam tadi.
Allahyarham meninggal dunia pada jam 12.04 tengah malam tadi di Hospital Selayang selepas tiga hari dimasukkan ke hospital.
Difahamkan, jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Garing, Rawang.
Allahyarham meninggalkan balu, Zamidah Ishak, 62, dan dua anak, Nurul Fatin Athirah, 25, dan Nur Anis Sofea, 23.
Terdahulu, Man Tobey atau nama sebenarnya Yahya Rashid terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 30 Mei tahun lalu dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang.
Dalam kejadian di Jalan Bukit Templer-Rawang sekitar jam 10 pagi itu, Man Tobey sedang menunggang motosikal dari arah Selayang untuk pulang ke rumahnya di Rawang.
Arwah mengalami kecederaan tulang belakang, leher dan tangan kirinya patah. Tulang belakang pula menutup saluran pernafasan sehingga terpaksa menggunakan mesin bantuan.
Doktor juga melakukan pembedahan membuang tiga tulang belakang kerana ingin memberi ruang pada saluran pernafasan.
Kejadian berlaku semasa arwah pulang dari Pasar Selayang untuk berniaga di kedai runcit di kawasan kediamannya di Rawang. – Malaysiapost
The post Bekas pemain bass XPDC, Man Tobey meninggal dunia first appeared on Wowberita.via Wowberita
0 Comments