Dua beradik maut, dua cedera dalam nahas tiga kenderaan

JERANTUT – Dua beradik maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer (KM) 8 Jalan Jerantut-Benta dekat Kampung Lata Kasah di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, kemalangan melibatkan sebuah treler, kereta Proton Saga dan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan memberitahu, akibat kemalangan itu seorang lelaki berusia 23 tahun yang memandu Proton Saga maut di tempat kejadian.

“Kakak mangsa berusia 27 tahun yang duduk di bahagian penumpang belakang kereta itu meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di unit kecemasan Hospital Jerantut.

“Dua lagi penumpang kereta itu iaitu sepupu mangsa lelaki berusia 23 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun cedera. Mereka sedang menerima rawatan di unit kecemasan hospital sama,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku semasa treler yang dipandu lelaki berusia 53 tahun dalam arah perjalanan dari Kuantan menuju ke Kampung Baru.

“Semasa melalui jalan berselekoh dalam keadaan cuaca hujan, treler itu telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta itu secara berhadapan.

“Bahagian belakang treler itu pula telah terkena pada bahagian sisi kanan Triton yang berada di hadapan kereta tersebut.

“Pemandu treler dan pemandu Triton iaitu seorang lelaki berusia 42 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, pemandu treler itu telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan ujian awal air kencing pemandu tersebut didapati negatif.

“Siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

The post Dua beradik maut, dua cedera dalam nahas tiga kenderaan first appeared on Wowberita.

via Wowberita

Post a Comment

0 Comments