ROMPIN – Seorang warga emas ditemukan lemas dalam keretanya di ladang kelapa sawit di Jalan Utama Felda Selancar 2 berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perwira Jaya di sini.
Mangsa, Abdullah Satar, 73, ditemukan dalam kereta jenis Proton Iswara yang dipercayai dihanyutkan air dalam kejadian banjir yang melanda Felda Selancar 2.
Penemuan mangsa sekali gus merungkai kehilangan warga emas itu sejak Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Azahari Mukhtar berkata, mangsa yang merupakan peneroka di Felda Selancar 2 ditemukan pukul 6.40 petang semalam selepas banjir surut.
“Berdasarkan siasatan, keluarganya mendakwa mangsa hilang selepas keluar rumah sejak Rabu lalu dan gagal dihubungi menyebabkan mereka mencarinya, namun gagal.
“Anak mangsa mendakwa dihubungi rakannya yang memaklumkan kereta Proton Iswara mangsa dijumpai dalam ladang itu dengan mangsa di dalamnya,” katanya di sini hari ini.
Menurut Azahari, mayat mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN
The post Warga emas ditemui dalam kereta hanyut banjir lepas tiga hari first appeared on Wowberita.via Wowberita
0 Comments