Pelajar tahfiz maut kemalangan ketika keluar beli baju raya

KOTA BHARU – Pelajar tahfiz maut selepas van yang dinaiki bersama 11 rakan lain terbabas ke dalam parit di Taman Bendahara berdekatan Jalan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 11.32 pagi, mangsa Wan Ahmad Izzat Alauddin Mohd Faris, 12, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

Ibu mangsa, Wan Noor Azilah Wan Sulaiman, 48, berkata dia menerima khabar kemalangan menimpa anak tunggalnya melalui kumpulan WhatsApp pusat tahfiz berkenaan.

Menurutnya, dia kemudian bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya mengambil masa selama 15 minit dari kediamannya.

Katanya, sebaik sampai ke lokasi kejadian, hatinya luluh melihat tubuh anaknya terbaring kaku tidak bernyawa, namun tetap menguatkan semangat membuka kain yang menutupi arwah.

“Sepatutnya, malam ini saya mengambil Wan Ahmad Izzat pulang ke rumah untuk beraya, tetapi Tuhan lebih menyayanginya. Dia pergi buat selamanya ketika beberapa hari lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Malam tadi, adalah malam terakhir kami berbual melalui telefon yang mana dia ada bertanya pendapat saya untuk membeli baju raya warna apa. Tidak sangka keterujaan dia untuk keluar membeli kelengkapan raya bersama rakan tahfiz adalah petanda untuk dia pergi buat selamanya.

“Saya reda dengan kehilangan satu-satunya anak yang saya ada dan berdoa semoga segala urusan jenazah dapat disegerakan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik HUSM, di sini.

Wan Noor Azilah berkata, jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chiku 7, Gua Musang.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Alam Nasut Ilias berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam lalu bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik sampai, terdapat van milik sebuah pusat tahfiz terbabas ke dalam parit dan seorang pelajar meninggal dunia, manakala 11 pelajar lain cedera,” katanya.

The post Pelajar tahfiz maut kemalangan ketika keluar beli baju raya first appeared on Wowberita.

via Wowberita

Post a Comment

0 Comments