Pemilik restoran Tukdin Flavours of Malaysia meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Pemilik restoran Tukdin Flavours of Malaysia, Zainuddin Yahaya yang mengusahakan perniagaan di London, United Kingdom (UK) dilaporkan meninggal dunia pada Sabtu.

Allahyarham yang mesra dipanggil Tuk Din menghembuskan nafas terakhir pada usia 70 tahun sekitar pukul 9.40 pagi waktu London.

Berita sedih mengenai pemergian Allahyarham turut dikongsi oleh teman rapatnya, Zaharah Othman di laman Facebook.

“Ya ALLAH, ampunilah dosanya, tempatkanlah Tuk Din bersama yang soleh dan beriman.

“Ya ALLAH berilah ketenangan dan kesabaran kepada keluarga dan kawan-kawan yang sangat menyayanginya,” tulis Zaharah dalam kemas kini tersebut hari ini.

Pada masa sama, Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini dalam hantaran di Facebooknya menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Tuk Din.

“Bagi semua yang pernah menetap dan mengunjungi UK, nama Tuk Din sangatlah tidak asing kerana Tuk Din merupakan pengusaha restoran cita rasa Malaysia, TukDin Flavours of Malaysia berhampiran Paddington Station, London.

“Bagi pelajar-pelajar Malaysia, di restoran Tuk Din lah selalu dikunjungi apabila hendak melepaskan rindu masakan Malaysia.

“Pemergiannya tentu akan dirasai oleh warga Malaysia di UK,” tulis Azuan.

Awal Mei lalu, Tukdin Flavours of Malaysia dalam kemas kini di laman Facebook memaklumkan Tuk Din dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana masalah kesihatan.

Sementara itu, Tukdin Flavours of Malaysia dalam hantaran di InstaStory pada Jumaat menjelaskan, doktor memaklumkan Tuk Din mempunyai peluang tipis untuk bertahan lebih lama.

Allahyarham mengusahakan Tukdin Flavours of Malaysia sejak lebih 13 tahun lalu di London, dengan hidangan Malaysia menjadi inspirasi utama restoran berkenaan.

Astro Awani sedang mendapatkan perkembangan lanjut berhubung kematian Tuk Din. – Awani

The post Pemilik restoran Tukdin Flavours of Malaysia meninggal dunia first appeared on Wowberita.

via Wowberita

Post a Comment

0 Comments