5 Kali Tabung Masjid Kena Pecah, Siak Rayu Carilah Rezeki Yang Halal

SABAK BERNAM 6 Ogos - "Sepatutnya, dengan kudrat yang ada, suspek boleh mencari rezeki yang halal, bukannya mengambil jalan singkat mencuri wang tabung masjid."

Itu luahan kecewa Siak Masjid Muhammadiah Panchang Bedena, Mohd. Azmin Kosen, 21, selepas tabung masjid berkenaan dipecah pencuri untuk kali kelima sepanjang tahun ini.

Beliau yang sudah bertugas lebih setahun di situ, menyifatkan kejadian terbaharu pada Isnin lalu sebagai yang terburuk.
Masjid Muhammadiah Panchang Bedena, Sabak Bernam.
“Sebelum ini hanya mangga kunci yang dipecahkan tanpa menjejaskan tabung. Jadi hanya mangga kunci yang diganti tetapi kali ini bukan sahaja mangga kunci cuba dipotong, malah peti besi dirosakkan menyebabkan pihak masjid terpaksa mengeluarkan kos yang lebih besar untuk membaikinya.

“Saya sebenarnya geram dan sedih dengan perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya ketika ditemui Utusan Online hari ini.

Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian kecurian wang tabung masjid menarik perhatian umum dan menjadi viral dalam laman sosial seperti Facebook dan telah dikongsi netizen lebih 270 kali sejak dimuat naik awal bulan ini.


Sementara itu Nazir masjid tersebut, Hashim Salihin berkata, serik dengan lima kejadian pecah tabung itu pihaknya merancang menggantikannya dengan peti besi yang lebih kukuh sekali gus menyediakan tahap keselamatan lebih terjamin.

Katanya, tabung di masjid berkenaan pernah dipecahkan pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri, akhir Julai lalu dan dua lagi pada awal tahun ini.

Seorang jemaah masjid menunjukkan tabung yang dipecahkan pencuri.
“Setelah beberapa kali berlaku kejadian serupa, pengurusan masjid menggantikan mangga kunci yang lebih berkualiti.

“Dahulu guna mangga kunci biasa sahaja. Kena ketuk dengan tukul sudah boleh tanggal. Jadi kali ini, kami tukar dengan mangga kunci yang lebih berkualiti.

“Kalau dilihat, mangga kunci ini tidak terjejas. Pemotong besi yang digunakan gagal memotong mangga tersebut membuatkan suspek menukar taktik dengan memotong bahagian telinga penutup tabung,” katanya.

Hashim memberitahu, daripada kelibat suspek dan kenderaan yang digunakan, dipercayai perbuatan itu dilakukan orang luar tidak dan berkemungkinan penagih dadah.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Nor Azmi Isa berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian tersebut.

“Pihak Polis akan sentiasa membuat pemantauan berhubung kejadian pecah tabung di masjid-masjid. Bagaimanapun, pihak pengurusan masjid diminta melaporkan segera kejadian supaya polis dapat mengambil tindakan lanjut,” katanya.

Rujukan: UtusanMalaysia

lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments