KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menyatakan kebimbangan mengenai masalah beberapa Persatuan Bola Sepak Negeri yang ingin menarik diri daripada Liga Malaysia 2017 kerana masalah kewangan.
Perdana Menteri yang bimbang apabila mendapat tahu mengenai perkara itu, berharap Persatuan Bola Sepak Negeri yang terbabit mencari jalan mengatasi masalah kewangan itu.
"Berkenaan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), saya difahamkan masalah ini timbul berikutan peletakan jawatan Tan Sri Annuar Musa sebagai Presiden.
"Saya telah minta Annuar untuk membantu KAFA, agar tidak menghampakan harapan ribuan peminat The Red Warriors," katanya dalam catatan terbaru di Facebooknya hari ini.
DATUK Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali dengan Dr Vida bersama Annuar pada majlis pelancaran jersi baharu pasukan Kelantan pada Februari lalu. - Foto fail NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Najib berkata, sebagai sukan rakyat nombor satu dalam negara, adalah penting untuk semua yang terbabit dengan sukan bola sepak untuk memastikan sukan itu terus berkembang maju.
Katanya, mereka yang terbabit dengan persatuan bola sepak tidak boleh menghampakan berjuta peminat sukan itu terutama generasi muda.
"Insya-Allah, dengan ada persepakatan yang baik serta keikhlasan semua pihak, kita akan dapat mencari jalan keluar dari masalah ini," katanya.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments