Jenazah Muhammad Lailatulman dikebumikan

RANTAU PANJANG: Jenazah Laskar Kelas 1, Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26, yang meninggal dunia selepas menjalani latihan fizikal di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, Ipoh, kelmarin, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang, di sini, pagi tadi.

Kira-kira 200 ahli keluarga dan penduduk kampung menghadiri solat jenazah diimamkan Imam Mukim Kubang Rambutan, Saari Ismail, pada jam 9.30 pagi ini.

Suasana hening menyelubungi pengebumian Allahyarham dan ahli keluarganya dilihat tenang.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham yang tiba di kediaman keluarganya, di Kampung Bagus, di sini dengan menaiki van jenazah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kira-kira jam 6.30 pagi tadi, disembahyangkan di Surau Al Hidayah, di sini, sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

MOHD Sukri Salleh, 52, menyiram air ke pusara anaknya, Muhammad Lailatulman di Tanah Perkuburan Islam Pekan Rantau Panjang. - Foto Fathil Asri

Turut hadir, Timbalan Panglima Armada Barat, Laksamana Pertama, Abu Bakar Mohd Ajis dan pasukan Kawalan Jenazah KD Lekir dari Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut yang menguruskan jenazah.

Terdahulu, jenazah Muhammad Lailatulman meninggalkan pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, pada jam 1 pagi tadi selepas mengambil masa kira-kira lima jam proses bedah siasat.

Allahyarham Muhammad Lailatulman meninggalkan seorang balu, Nur Liya Asmira Yahya, 24 dan seoramg anak berusia empat bulan.

Semalam, TLDM menubuhkan satu Lembaga Siasatan bagi meneliti prosedur operasi standard (SOP) susulan dua anggotanya termasuk Laskar Muda Kelas 1, Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, meninggal dunia ketika menjalani latihan fizikal, Jumaat lalu.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments