KUALA LUMPUR: Mayat seorang wanita dipercayai warga asing ditemui di pekarangan Masjid Taman Keramat, Ampang, di sini, selepas solat Subuh pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff, berkata tiada sebarang kesan kecederaan fizikal dikesan pada tubuh mangsa berusia 60-an dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.
“Hasil semakan polis mendapati sebuah kereta Perodua Alza putih dikesan memasuki kawasan masjid pada jam 4.24 pagi tadi dan keluar selang tiga minit kemudian.
“Setakat ini kita percaya kenderaan ini diguna untuk membawa mayat berkenaan ke kawasan masjid,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, wanita berkenaan yang lengkap berpakaian baju T hitam dan berkain batik disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Ampang yang kemudian memaklumkan kejadian kepada polis.
“Mayat ini kita hantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat bagi membolehkan pihak polis mengenal pasti punca sebenar kematiannya,” katanya.
Pada masa ini penemuan mayat berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Hulu Kelang ditalian 03-42573322 bagi membantu siasatan.
Sumber : Mayat wanita ditemui di pekarangan masjid
0 Comments