AYER KEROH: Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini menolak usul mencadangkan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Melaka, Datuk Abdul Halim Bachik sebagai Ahli Dewan Negara.
Usul dikemukakan Ketua Menteri, Adly Zahari itu hanya mendapat 12 undi berbanding 13 undi yang menolak, manakala tiga lagi tidak hadir.
Keputusan undian diumumkan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Omar Jaafar jam 1.20 tengah hari tadi.
Berikutan itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Idris Haron bangun mengemukakan usul calon baharu iaitu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh.
Usul terbaharu itu berdasarkan kepada Peraturan 18.1 Dewan Undangan Negeri yang membolehkan pindaan usul dibuat sebelum Speaker bertindak menangguhkan dewan.
Sementara itu, berlaku kekecohan antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang sebelum Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas membacakan Peraturan 17(10) Dewan Undangan Negeri iaitu apabila satu usul dicadangkan, seterusnya dibahaskan dan diputuskan, tidak boleh mana-mana ahli dewan mengemukakan usul sama tanpa kebenaran Speaker.
Beliau berkata, apabila sesuatu usul diputuskan untuk ditolak, ia dianggap sebagai selesai dan tidak boleh ditambah atau dipinda.
“Di bawah Perlembagaan Persekutuan, dalam Perkara 7, mana-mana nama dicadangkan perlulah mengemukakan kenyataan kepada Speaker berserta bertujuan beliau untuk dicadangkan,” katanya.
Adly pada sidang medianya, berkata kerajaan negeri akan melakukan ‘bedah siasat’ mengenai keputusan undian, termasuk ‘kehilangan’ Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR pada sesi pengundian berkenaan.
“Saya tidak menjangkakan keputusan ini, namun saya tidak nampak ada unsur-unsur sabotaj. Saya akan mendapatkan pandangan daripada mereka (ADUN PKR),” katanya.
Untuk rekod, dua ADUN PKR terbabit ialah ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan ADUN Machap Jaya, Datuk Ginnie Lim Siew Lin, dengan kedua-duanya turut berkhidmat sebagai EXCO Kerajaan Melaka.
Sementara itu, Idris ketika ditemui memaklumkan keputusan pembangkang menolak usul berkenaan bukan disebabkan ketiadaan dua ADUN PKR itu, sebaliknya berpunca daripada sindiran ADUN Klebang, Datuk Gue Teck terhadap ahli pembangkang yang mengguris hati.
“Sebenarnya pada peringkat awal, ucapan usul Ketua Menteri hampir mempengaruhi kita (pembangkang) untuk menyokong, tetapi ucapan ADUN Klebang membuatkan kita akhirnya memutuskan untuk menolak calon Senator.
“Dari segi perundangannya, kita akan cuba mendapatkan pandangan peringkat lebih tinggi, sama ada cadangan kita itu sah atau tidak kerana kami mendapat sokongan majoriti ahli dewan,” katanya.
ADUN Yang Menyokong Usul:
Adly Zahari (AMANAH - Bukit Katil)
Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (BERSATU - Paya Rumput)
Datuk Tey Kok Kiew (DAP - Bandar Hilir)
Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab (AMANAH - Durian Tunggal)
Datuk Norhizam Hassan Baktee (DAP - Pengkalan Batu)
Datuk Nor Effandi Ahmad (BERSATU - Telok Mas)
Low Chee Leong (DAP - Kota Laksamana)
Kerk Chee Yee (DAP - Ayer Keroh)
Datuk Dr Wong Fort Pin (DAP - Bemban)
Damian Yeo Shen Li (DAP - Duyong)
Allex Seah Shoo Chin (DAP - Kesidang)
Datuk Gue Teck (PKR - Klebang)
ADUN Yang Menolak Usul:
Datuk Seri Idris Haron (UMNO - Sungai Udang)
Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan (UMNO - Asahan)
Datuk Wira Ismail Othman (UMNO - Kuala Linggi)
Datuk Hassan Rahman (UMNO - Sungai Rambai)
Datuk Latipah Omar (UMNO - Taboh Naning)
Datuk Wira Ghazalee Mohamad (UMNO - Rim)
Datuk Amirudin Yusof (UMNO - Ayer Limau)
Datuk Roslan Ahmad (UMNO - Merlimau)
Datuk Sulaiman Md Ali (UMNO - Lendu)
Datuk Md Rawi Mahmud (UMNO - Tanjung Bidara)
Datuk Zaidi Attan (UMNO - Serkam)
Datuk Nor Azman Hassan (UMNO - Pantai Kundor)
Rahmad Mariman (UMNO - Ayer Molek)
Tidak Hadir:
Datuk Muhammad Jailani Khamis (PKR - Rembia)
Datuk Ginnie Lim Siew Lin (PKR - Machap Jaya)
G Saminathan (DAP - Gadek) - ditahan di bawah SOSMA (kes LTTE)
Sumber : Usul mencadangkan Pengerusi MPN Melaka sebagai Senator ditolak
0 Comments