LONDON: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mengesahkan penyerang Sergio Aguero tidak akan bersama pasukan itu untuk beberapa minggu.
Penyerang Argentina itu cedera ketika The Citizens meraih kemenangan 2-1 ke atas Chelsea, Sabtu lalu dengan Guardiola memberitahu belum menerima sebarang kepastian mengenai tempoh sebenar penyerangnya itu akan pulih.
Dalam satu sidang media menjelang perlawanan Liga Juara-Juara menentang Shakhtar Donetsk, awal pagi Rabu, pengendali itu berkata: "Sergio takkan bersama pasukan untuk beberapa perlawanan, dalam tempoh beberapa minggu. Saya belum tahu tempoh sebenarnya.”
Gabriel Jesus mungkin boleh memanfaatkan ketiadaan Aguero dan dia berkata: "Saya tidak gembira apabila Sergio cedera. Saya tidak menyukainya apabila kawan saya cedera, tetapi setiap hari saya berusaha gigih dan sudah bersedia."
Manchester City bakal melangkah ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara sekiranya mereka mampu mengelak daripada kekalahan di tangan Shakhtar ataupun sekiranya Dinamo Zagreb gagal menewaskan Atalanta.
City bakal berada di puncak kumpulan seandainya mereka menang atapun sekiranya pasukan seri dan Dinamo tidak meraih kemenangan.
Guardiola berkata: "Kedudukan kami ketika ini bagus tetapi kami belum melayakkan diri lagi. Esok adalah peluangnya." - AFP
Sumber : City kempunan khidmat Aguero
0 Comments