DRESDEN: Koleksi tiga set barangan kemas terulung dan bersejarah Eropah dianggarkan bernilai AS$1.1 bilion (RM4.6 bilion) lesap dalam satu rompakan di sebuah muzium di timur Jerman awal pagi ini, kata polis.
Kakitangan muzium berkata, perompak terbabit menyerbu masuk ke ruang pameran Dresden’s Gruenes Gewoelbe atau Green Vault Museum dan melarikan sekurang-kurangnya tiga set barangan kemas awal abad ke-18 termasuk berlian dan delima.
Polis berkata, rakaman kamera keselamatan litar tertutup (CCTV) berjaya merakam kelibat dua lelaki yang sedang memecah masuk melalui tingkap berjeriji.
Koleksi tiga set barangan kemas terulung dan bersejarah Eropah dianggarkan bernilai AS$1.1 bilion (RM4.6 bilion) lesap dalam satu rompakan.
“Pihak berkuasa tiba lima minit selepas penggera berbunyi pada kira-kira jam 5 pagi (waktu tempatan), namun perompak terbabit sudah melarikan diri,” kata polis.
“Kita sedang berdepan dengan kehilangan khazanah yang tidak ternilai dari segi nilai budayanya,” kata Pengarah Muzium, Dirk Syndram dalam satu sidang akhbar.
Katanya, agak mustahil juga untuk menjual barangan berharga yang terlalu unik dan cukup dikenali itu di pasaran terbuka.
“Namun lebih malang lagi jika penjenayah tergamak menceraikan atau melebur barang kemas terbabit,” katanya.
Koleksi ini diasaskan pada abad ke-18 oleh Augustus the Strong, Elector of Saxony dan kemudiannya Raja Poland, sebagai tanda persaingannya dengan Raja Louis XIV dari Perancis. - Reuters
Sumber : Set barang kemas RM4.6 bilion lesap dari muzium Jerman
0 Comments