Syarikat e-hailing MYGO tawar kereta kepada pemandu

KUALA LUMPUR: Syarikat e-hailing baharu dalam pasaran tempatan, MYGO menawarkan kereta Proton Saga 1.3 melalui kaedah sewa milik kepada pemandu yang berdaftar di bawah syarikat itu.

Ketua Pegawai Operasi MYGO, S Muraliraj, berkata MYGO menyasarkan sebanyak 120 kereta diberikan melalui kaedah itu secara berperingkat kepada pemandu-pemandu yang berminat untuk menikmati skim itu hingga Disember 2020.

“Bagi fasa pertama, kami (MYGO) sasar untuk menyediakan sebanyak 20 buah kereta kepada pemandu menjelang 31 Disember ini, manakala sekurang-kurangnya 100 buah kereta sebelum akhir tahun hadapan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Hab MYGO Kuala Lumpur dan Selangor, di sini, hari ini.

Muraliraj berkata, skim itu telah diperkenalkan sejak penubuhan MYGO pada Mac lalu dan syarikat e-hailing itu menandatangani satu memorandum persefahaman dengan Proton pada Ogos lalu berkenaan skim itu.

Menurut beliau, pemandu MYGO dapat menikmati peluang memiliki kereta itu mengikut syarat-syarat yang ditetapkan antaranya membayar sewa kereta secara bulanan melalui e-dompet (akaun MYGO) dan berkhidmat dengan MYGO selama lima tahun.

Tambahnya, hampir 5,000 pemandu telah berdaftar di bawah MYGO setakat semalam dan bagi menghargai kesetiaan pemandu MYGO syarikat itu turut menawarkan pemilikan saham bersyarat dengan syarat utama adalah telah berkhidmat minimum tiga tahun dengan syarikat e-hailing berkenaan.

Untuk maklumat lanjut, mereka yang berminat boleh ke ibu pejabat MYGO di Wisma Consplant 1, di Subang Jaya, Selangor atau Hab MYGO Kuala Lumpur dan Selangor di Pusat Komersil, Jalan Kuching, dekat sini.

Sementara itu, Hab MYGO Kuala Lumpur dan Selangor adalah pusat sehenti pertama yang dilancarkan bagi memudahkan segala urusan setiap pemandu MYGO seperti menghadiri latihan perkhidmatan dan memperoleh lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) menerusi pusat sehenti itu.

“MYGO juga menjangka membuka hab sebegini di setiap negeri, termasuk Sabah dan Sarawak secara berperingkat...mungkin, hab seterusnya yang akan dibuka adalah di Ipoh, Perak pada bulan hadapan,” kata Muraliraj dan menambah aplikasi MYGO mencatatkan lebih 20,000 muat turun setakat ini. – BERNAMA



Sumber : Syarikat e-hailing MYGO tawar kereta kepada pemandu

Post a Comment

0 Comments