Ia bukan skandal - Salahuddin

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub, menegaskan isu pemberian projek bernilai RM1.4 bilion secara rundingan terus bukan satu skandal.

Beliau menegaskan, dana berkenaan masih berada di Kementerian Kewangan dan bukan masuk ke akaun lain seperti yang berlaku dalam beberapa skandal di bawah pentadbiran kerajaan sebelum ini.

“Saya sudah jelaskan, apa yang dilakukan itu masih dalam prosedur ditetapkan. Ia bukan skandal.

“Kalau skandal ini, skandal Tabung Haji, FGV dan 1MDB. Duit itu masuk ke dalam akaun peribadi atau akaun sesiapa.

“Namun, ke mana pergi peruntukan RM1.4 bilion itu? Ia masih dalam Perbendaharaan yang kita yakin akan diberikan kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS). Itu saja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kongres Benih Asia 2019 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, mempertahankan dakwaannya bahawa pemberian projek Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bernilai RM1.4 bilion secara rundingan terus, yang akan diberikan kepada NAFAS, sebagai satu skandal.

BH pada Sabtu lalu melaporkan penganugerahan pelbagai projek berkaitan padi secara rundingan terus kepada NAFAS yang dilaksanakan sejak 1980-an adalah bagi membela dan menjaga kebajikan 920,000 ahli yang memiliki saham dalam pertubuhan itu.

Pengerusi NAFAS, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi, dilaporkan berkata pertubuhan itu tidak akan mampu bersaing dengan syarikat besar jika penganugerahan projek dilakukan secara tender terbuka.

Mengenai dakwaan bahawa beliau disabotaj oleh Ketua Setiausaha (KSU) kementeriannya berhubung isu tender itu, Salahuddin enggan mengulas mengenai isu itu.

“Jika ada reaksi luaran, saya rasa kita serahkan kepada pihak bertanggungjawab menyiasat atau memberikan komen. Bukan saya orangnya untuk memberikan maklum balas,” katanya.

Diminta mengulas sama ada kementeriannya melakukan siasatan dalaman mengenai dakwaan sabotaj itu, Salahuddin sekali lagi menegaskan, siasatan hanya perlu jika wujud skandal.

“Tiada skandal pun. Harmoni saja di kementerian itu. Tiada salah laku, tiada apa berlaku,” katanya.

Ditanya sama KSU kementerian, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan, akan dikenakan tindakan berikutan dakwaan sabotaj berkenaan, Salahuddin berkata, beliau tidak tahu mengenainya dan soalan itu perlu diajukan kepada Ketua Setiausaha Negara.

Mohd Sallehhuddin tidak hadir pada program berkenaan.

Sementara itu, berhubung kenyataan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, yang menyifatkan adalah salah dari segi moral untuk menteri mengagihkan projek, susulan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berhubung perkara itu, Salahuddin berkata kenyataan Dr Mahathir itu tidak boleh diambil di luar konteks.

“Saya ada bersama Tun ketika itu dan dalam Kabinet pun diberikan penjelasan. Menteri hanya layak untuk tahu. Menteri berhak untuk panggil KSU (bertanya) bagaimana projek itu diberikan dan jika boleh persoalkan, menteri akan minta isu spesifik yang mungkin berlaku. Itu maksud Tun.

“Menteri tidak terpisah. Menteri tetap ada pembabitan, komitmen dan tanggungjawab untuk memastikan semua tender itu berjalan dengan baik lagi telus di bawah Pakatan Harapan (PH).

“Saya tidak nampak apa yang dikatakan Tun itu seolah-olah menteri juga boleh anugerahkan tender. Itu tidak benar sama sekali,” katanya.



Sumber : Ia bukan skandal - Salahuddin

Post a Comment

0 Comments