Kebakaran bahan kimia: UPBN Selangor bina parit penahanan sementara

KUALA SELANGOR: Unit Pengurusan Bencana Selangor (UPBN) akan membina parit sementara di sekitar kawasan kebakaran bahan kimia yang berlaku awal pagi tadi di Jalan Kapar, Batu 16, Kampung Tambak Jawa, di sini.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof, berkata pihaknya juga menunggu penilaian oleh Unit Kualiti Alam Sekitar sebelum melupuskan sisa bahan kimia itu.

“Sebaik sahaja selesai proses pemadaman, satu jengkaut memasuki kawasan berkenaan untuk melakukan kerja pengorekan parit sementara (parit penahanan).

“Parit berkenaan akan bertindak sebagai penghalang agar sisa kimia itu tidak merebak ke tempat lain sebelum kita mengetahui kaedah yang sesuai untuk melupuskan bahan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga masih menunggu keputusan mengenai jenis bahan kimia itu berikutan ketiadaan label pada tong berkenaan.

Katanya, UPBN menerima aduan terdapat banyak tong bahan kimia itu daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor pada Khamis lalu dan segera mengambil sampel untuk dihantar ke Jabatan Kimia.

“Pelupusan tidak boleh dilakukan tanpa mengetahui jenis bahan kimia kerana dikhuatiri akan menjejaskan penduduk sekitar kawasan berkenaan,” katanya.

Terdahulu, satu kebakaran dan letupan membabitkan 270 tong bahan kimia dalam kawasan seluas 2,500 kaki persegi berlaku awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd berkata, Pusat Gerakan Operasi Selangor menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 3.29 pagi.

“Seramai 15 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dan Kapar dihantar ke lokasi,” katanya.

Beliau berkata, pihak bomba berjaya memadam sepenuhnya kebakaran pada jam 5.58 pagi dan tiada kecederaan dilaporkan.



Sumber : Kebakaran bahan kimia: UPBN Selangor bina parit penahanan sementara

Post a Comment

0 Comments