Zakaria sepatutnya hadir mesyuarat MPP - Wan Azizah

CYBERJAYA: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Zakaria Abdul Hamid, sepatutnya hadir ke mesyuarat MPP semalam untuk mengetahui apa yang berlaku.

Pengerusi Majlis Penasihat PKR itu berkata, Zakaria yang juga Ketua PKR Cabang Bera sepatutnya menghadiri mesyuarat terbabit sebagai seorang anggota MPP.

“Sepatutnya dia menghadirinya, Zakaria akan tahu semua maklumat yang berlaku. Itulah yang sepatutnya berlaku.

“Dia pastinya akan dapat menjawab semua persoalannya (berkaitan pemecatan),” katanya selepas diminta mengulas mengenai pemecatan dua ahli PKR termasuk Zakaria kerana terbabit dalam isu rasuah.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian selepas melancarkan Deklarasi Keluarga Malaysia (DKM) di Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) di sini, hari ini.

Zakaria Abdul Hamid dan Ismail Dulhadi, bekas Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya, Baru Bian, dipecat serta-merta kerana terbabit dalam isu rasuah ketika pemilihan parti itu tahun lalu.

Pemecatan dibuat selepas Lembaga Disiplin PKR menerima bukti kukuh daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), melalui surat bertarikh 23 Oktober lalu yang mengesyorkan kepada parti supaya mengambil tindakan terhadap dua individu terbabit.

Pemecatan kedua-ahli ahli parti itu dimaklumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kassim, pada sidang media selepas mesyuarat MPP di sini, semalam.

Mesyuarat turut dihadiri Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Susulan itu juga, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin mengecam tindakan pemecatan ke atas dua ahli terbabit yang dilihat sebagai tindakan pilih bulu yang akan merosakkan reformasi kepemimpinan kerana hanya membabitkan individu yang dilihat berpihak kepada pemimpin tertentu dalam PKR.

Zakaria adalah antara ahli MPP yang diketahui menjadi penyokong Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, di samping Zuraida sendiri.



Sumber : Zakaria sepatutnya hadir mesyuarat MPP - Wan Azizah

Post a Comment

0 Comments