PM, Presiden Korea Selatan akan saksi pemeteraian 4 MoU di Seoul

BUSAN (Korea Selatan): Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Korea Selatan Moon Jae-in akan menyaksikan pemeteraian empat Memorandum Persefahaman (MoU) - dalam teknologi maklumat dan komunikasi, kerajaan digital, penjagaan kesihatan dan sains perubatan serta pengurusan air dan pembetungan - di Seoul minggu ini.

Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali akan mengadakan lawatan rasmi ke Seoul dari 27-28 November selepas menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan 2019 di Busan.

Ini akan menjadi lawatan rasmi pertama beliau ke Korea Selatan selepas dilantik menjadi Perdana Menteri ketujuh Malaysia pada Mei 2018.

Semasa lawatan itu, beliau akan mengetuai delegasi Malaysia bagi mesyuarat dua hala dengan Presiden Moon.

Mesyuarat itu adalah susulan kepada perbincangan kedua-dua pemimpin di Kuala Lumpur semasa lawatan Moon ke Malaysia dari 12-14 Mac 2019.

Antara isu-isu yang akan dibincangkan termasuklah kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, pembangunan industri halal, kerjasama dalam penjagaan kesihatan dan sains perubatan, teknologi maklumat dan komunikasi, kerajaan digital, pengangkutan, pertahanan serta kerjasama dalam pelancongan dan kebudayaan, kata Duta Malaysia ke Korea Selatan Datuk Mohd Ashri Muda kepada media Malaysia di sini, semalam.

Kedua-dua pihak juga akan membincangkan usaha untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara menjadi satu perkongsian strategik, menjelang sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik yang terjalin antara Malaysia dan Korea Selatan pada 2020.

Pada masa sama, kedua-dua pemimpin juga akan membincangkan berhubung isu kepentingan bersama di peringkat serantau dan antarabangsa.

Agensi Berita Yonhap melaporkan Korea Selatan sedang menimbang kemungkinan menjalin perjanjian perdagangan bebas individu dengan lebih banyak negara anggota ASEAN dan menyasar memeterai perjanjian perdagangan bebas dengan Malaysia dan Filipina pada akhir tahun ini.

Selain menghadiri program rasmi, perdana menteri juga dijadualkan menyertai mesyuarat perniagaan meja bulat dengan ketua-ketua industri Korea Selatan dan menerima kunjungan hormat daripada presiden dan ketua pegawai eksekutif Daewoo Engineering and Construction Co Ltd.

Dr Mahathir juga akan mengambil peluang untuk bertemu dengan diaspora Malaysia di Seoul.

Semasa lawatannya beliau akan diiringi Menteri Luar Negera Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ignatius Darell Leiking; Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo; Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Datuk Dr Xavier Jayakumar Arulanandam. - BERNAMA



Sumber : PM, Presiden Korea Selatan akan saksi pemeteraian 4 MoU di Seoul

Post a Comment

0 Comments