JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis menafikan mereka hanya menyajikan menu makan tengah hari nasi lauk sardin dan tauge untuk mangsa banjir sebaliknya itu adalah hidangan tambahan selepas menu asal gulai ‘ikan ketul’ tidak mencukupi.
Pengarah JKM Perlis Mohammad Hazam Ismail berkata, dalam kejadian semalam di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bintong, Kangar itu, wanita terbabit tidak berpuas hati diberi makanan berlaukkan sardin dan tauge sehingga bertindak memuat naik ke laman sosial sebelum ditularkan.
Menurutnya, pihaknya menyediakan 2,500 pek makanan untuk mangsa banjir di negeri ini namun pada hari kejadian makanan itu tidak mencukupi dan kerana kesuntukan masa pihaknya membeli sardin untuk dihidangkan kepada mangsa banjir.
“Hanya 20 peratus mangsa banjir sahaja yang menerima lauk sardin manakala 80 peratus makan mengikut menu asal disediakan iaitu gulai ‘ikan ketul’.
“Malah sebelah malamnya mangsa banjir menikmati lauk ayam. Kami sudah cuba memberi yang terbaik kepada mangsa banjir ini yang ditimpa musibah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohammad Hazam berkata, tindakan wanita terbabit memuat naik ke laman media sosial sehingga tular juga tidak sepatutnya berlaku.
“Saya sendiri ada melihat luahannya dan komen orang ramai yang rata-rata tidak bersetuju dengan tindakannya.
“Apabila dia memuat naik komen seperti itu ia hanya bukan dapat dibaca di Perlis tetapi merata tempat dan saya sendiri sedih apabila orang ramai menghentamnya semula,” katanya.
Beliau berkata, pada hari pertama banjir, pihaknya mula-mula menghidangkan menu mi goreng untuk sarapan namun Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man meminta mengubah menu itu dan hari seterusnya semua mangsa banjir menikmati hidangan nasi lemak setiap pagi.
“Nasihat saya sebelum sebarkan sesuatu dapatkan penjelasan terlebih dahulu daripada kita dan ini boleh dianggap fitnah,”katanya. – Metro
Comments
comments
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments