PETRONAS lepaskan aset luar negara tidak berprestasi

KUALA LUMPUR: PETRONAS sedang mempertimbangkan untuk menarik diri daripada beberapa aset pelaburannya di luar negara dalam usaha mewujudkan portfolio perniagaan yang lebih kukuh dan seimbang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, ketegasan itu berlandaskan kepada pulangan yang mana jika tidak menjana sebarang keuntungan untuk satu tempoh, maka keputusan keluar perlu dimuktamadkan.

Katanya, walaupun ada aset pelaburan yang perlu dilepaskan, PETRONAS akan terus mengembangkan perniagaan yang dipercayai dapat memberikan pulangan mampan kepada kumpulan pada masa depan.

"Untuk memiliki portfolio perniagaan yang kukuh kami perlu melakukan beberapa perkara. Kami sebenarnya sudah keluar daripada beberapa aset di luar negara seperti di Algeria, Cameroon, Iraq dan beberapa lagi yang kami berfikir untuk keluar.

"Ini kerana perniagaan teras kami seharusnya kukuh dan tidak berlaku sebarang pertalian emosi di antara tempat ini.

"Ia sangat dinamik kerana ada bahagian yang yang kami akan menarik pelaburan kami dan ada bahagian yang kami akan terus kembangkan kerana saya percaya kepada penumpuan geografi," katanya dalam satu temubual bersama BH dan New Straits Times di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Wan Zulkiflee berkata, PETRONAS kini meletakkan kepercayaan kepada rantau berpotensi untuk dikembangkan seperti ASEAN, Kanada, Teluk Mexico dan Asia Barat.

Katanya, tumpuan itu tertumpu kepada lokasi yang mampu memberikan portfolio rizab yang lebih seimbang khususnya bagi petroleum kerana rizab kumpulan itu kini cenderung kepada gas.

"Kita tahu secara kasar di mana geografi untuk portfolio gas dan di mana pula minyak, maka untuk memiliki portfolio yang lebih seimbang kami mungkin perlu memberikan lebih penekanan kepada usaha mengembangkan portfolio minyak.

"Bahkan, kami juga meneroka bidang tenaga baharu kerana ia penting untuk meletakkan kami di kedudukan yang baik pada masa depan dalam tempoh jangka panjang.

"Kami akan mengumumkannya pada masa yang betul kerana kami sedang mengkaji dari segi bentuk tenaga baharu apa yang sesuai dan bagaimana boleh meraih keuntungan daripadanya," katanya.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments