Bukit Bunga kembali meriah dengan pelawat

TANAH MERAH: Destinasi membeli-belah Bukit Bunga yang terletak berhampiran laluan Lebuh Raya Utama Timur Barat di sini, kini kembali meriah dengan pengunjung tempatan dan luar dari negeri ini.

Lokasinya yang terletak di laluan menghubungkan Kelantan dan Perak termasuk beberapa negeri di utara, ia kini dipenuhi perantau yang singgah membeli ole-ole.

Peniaga, Wan Haila Wan Hassan, 27, berkata kemeriahan itu mula dirasai sejak tiga hari lalu selepas sekian lama tiada pengunjung disebabkan pandemik COVID-19.

"Sejak Jumaat lalu, suasana di kawasan ini agak meriah dan kami sebagai penjual sangat gembira kerana sudah hampir tiga bulan 'dapur tak berasap'.

TINJAUAN destinasi membeli-belah Bukit Bunga di laluan Lebuh Raya Utama Timur Barat, di sini kembali meriah dengan pengunjung bukan sahaja rakyat tempatan tapi juga dari negeri luar. NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
TINJAUAN destinasi membeli-belah Bukit Bunga di laluan Lebuh Raya Utama Timur Barat, di sini kembali meriah dengan pengunjung bukan sahaja rakyat tempatan tapi juga dari negeri luar. NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

"Segelintir daripada lebih 100 peniaga di sini mula berniaga dalam bulan Ramadan lagi namun pengunjung hanya dapat dikira dengan jari dan itu pun terdiri daripada penduduk sekitar yang hanya keluar mencuci mata.

"Perubahan mengejut berlaku sebaik kerajaan memberi kebenaran rentas negeri yang mana pembeli mula memenuhi lot kedai di sini dan kebanyakan dari mereka adalah perantau yang singgah sama ada untuk pulang ke kampung halaman atau kembali ke negeri asal," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Kegembiraan sama dikongsi peniaga, Wan Nur Anis Wan Ali, 24, yang memberitahu sebelum ini banyak makanan ringan, kudapan atau keropok keping yang tidak terjual terpaksa dibuang kerana rosak disebabkan melebihi tarikh luput.

"Kebetulan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama pada 18 Mac lalu saya membeli stok makanan yang agak banyak untuk dijual menjelang cuti persekolahan ketika itu.

"Dugaan buat kami apabila kerajaan mengumumkan PKP yang menyebabkan operasi perniagaan tergendala dan walaupun sudah dibenarkan berniaga sebulan selepas itu, tetap tiada pembeli menyebabkan banyak makanan terpaksa dibuang.

"Tapi sejak beberapa hari sebelum Aidilfitri sehingga kini pelanggan mulai ramai seperti biasa dan dapatlah merasa untung walau tidak banyak," katanya sambil memberitahu beras siam, dodol dan keropok keping antara barangan yang paling laris di kedainya.

Bagi Safuan Abu Bakar, 32, perjalanan pulangnya ke Kepala Batas, Pulau Pinang menggunakan laluan Pekan Bukit Bunga itu adalah faktor dia singgah membeli sedikit ole-ole untuk dibawa pulang.

"Saya dari rumah ibu angkat di Terengganu dan ingin pulang ke Kepala Batas dan memang selalu singgah di sini untuk membeli belah terutama keropok keping, sos pencicah dan budu sebagai ole-ole," katanya.



Sumber : Bukit Bunga kembali meriah dengan pelawat

Post a Comment

0 Comments