MFL tak benarkan skuad NS berlatih esok

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak membenarkan pasukan Liga Perdana Negeri Sembilan (NS) memulakan kembali latihan seperti dirancang mereka, esok.

Ia susulan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) masih belum mengemukakan empat perkara penting kepada MFL seperti yang diminta badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu terhadap kepada semua pasukan.

Empat perkara itu adalah setiap pasukan perlu menyerahkan keputusan ujian calitan pemain dan pegawai terbabit selain melantik seorang pegawai penyelaras untuk memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di peringkat pasukan.

Selain itu, pasukan juga wajib menamakan pusat latihan yang diadakan di kawasan tertutup dan venue latihan perlu didaftarkan melalui pautan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menjelaskan PBNS patut mengemukakan semua dokumen bagi pihaknya melakukan penelitian sebelum membenarkan skuad itu berlatih.

"Saya sudah hubungi PBNS dan mereka mengatakan sudah membuat semua (empat perkara penting). Namun, ia tidak dihantar lagi kepada MFL.

"Kita tak boleh benarkan mereka berlatih sebab jawatankuasa di MFL tak tengok lagi dokumen itu. Sepatutnya mereka hantar dulu kepada MFL dan selepas itu baru kita putuskan mereka boleh buat latihan.

"(Mereka) kena tangguh dulu latihan untuk esok dan kalau esok dokumen itu dihantar kepada MFL, kita benarkan latihan dibuat pada Selasa.

"Saya tidak boleh berkompromi dalam hal berkaitan COVID-19 ini sebab kalau terjadi apa-apa, orang atau masyarakat akan cakap kecuaian kita," katanya kepada BH Sukan, hari ini.

Terdahulu, Ketua Jurulatih NS, Sazali Saidon dilaporkan berkata pasukannya akan memulakan latihan dengan SOP ditetapkan, bermula esok.



Sumber : MFL tak benarkan skuad NS berlatih esok

Post a Comment

0 Comments