KUALA LUMPUR: Cabaran Malaysia dalam Kejohanan Memanah Dunia hampir berakhir selepas dua pemanah negara tewas dalam pusingan awal pertandingan itu yang berlangsung di Mexico, pada Jumaat.
Wakil negara ke Sukan Olimpik Rio 2016, Khairul Anuar Mohamad memberikan saingan sengit kepada pemanah Taiwan, Wei Chun-heng sebelum tewas, 8-10 dalam panahan penentuan selepas terikat 9-9 dalam pusingan ketiga acara recurve individu lelaki.
Menurut laman sesawang rasmi Persekutuan Memanah Dunia www.worldarchery.org, Fatin Nurfatehah Mat Salleh juga gagal menyerlah, tewas 144-146 kepada pemanah tuan rumah, Fernanda Alexis Zepeda Preciado dalam pusingan keempat acara compound individu wanita.
Terdahulu, beliau menundukkan pemanah Jerman, Janine Meissner 144-140 dalam perlawanan pusingan ketiga.
Khairul Anuar akan bergandingan dengan Nur Aliya Ghapar dalam acara recurve berpasukan campuran dan mereka akan menghadapi pasangan Jerman Florian Kahllund/Lisa Unruh dalam pusingan pembukaan, hari ini. - BERNAMA
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments