LONDON: Jurgen Klopp percaya pemain 'kelas dunia', Harry Kane mampu memberi ancaman lebih besar kepada skuadnya berbanding apa yang dilakukan penyerang Manchester United, Romelu Lukaku, minggu lalu.
Pengurus Liverpool ini dilihat mudah menyerap ancaman Lukaku yang tidak berada di tahap prestasi terbaik ketika kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di Anfield dan ia dipermudahkan lagi dengan taktik bertahan yang digunakan Jose Mourinho.
Namun, Klopp yakin Kane, yang menjaringkan 15 gol dalam 15 penampilan untuk kelab dan England serta 81 gol dalam 102 aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) memiliki prospek berbeza.
"Saya tidak perlu menilai mereka. Kedua-duanya adalah penyerang menakjubkan," katanya.
"Bezanya ialah Harry lebih banyak memainkan peranan ketika tidak menjaringkan gol - tetapi saya yakin Lukaku juga akan melakukan perkara sama.
"Kami memastikan Lulaku tidak mendapat bola dan itu juga akan menjadi cara mengunci Harry tetapi jika kami terlalu fokus kepada seorang saja, pemain lain seperti Dele Alli akan bergerak bebas, Christian) Eriksen juga boleh meledak dan melakukan hantaran berbahaya,"
Klopp juga percaya Kane akan membuatkan Tottenham berdepan dengan cabaran besar dalam tempoh beberapa tahun akan datang kerana pemain ini dikaitkan dengan kelab juara Eropah, Real Madrid.
Bos Liverpool ini memberi amaran kepada Spurs kerana dia pernah melalui pengalaman seperti itu apabila Barcelona cuba memancing tonggak Liverpool, Philippe Coutinho, pada musim panas lalu.
"Ia akan menjadi cabaran besar dalam beberapa tahun akan datang kerana Harry bukan saja seorang penyerang terbaik di Eropah, tetapi juga di dunia....100 peratus," kata Klopp ketika sidang media di pusat latihan Liverpool - di Melwood.
Klopp akan bertandang ke Wembley untuk berdepan pasukan tangga ketiga liga, Spurs dan bakal beraksi tanpa penyerang berbahaya mereka, Sadio Mane yang dilanda kecederaan hamstring ketika aksi antarabangsa. - AFP
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments