Kanak-kanak melecur tom yam masih trauma

KUANTAN: Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang melecur di tengkuk dan belakang badan terkena sup tom yam, masih trauma walaupun peristiwa itu sudah dua hari berlaku.

Bapanya yang hanya mahu dikenali sebagai Zack, berkata emosi anak perempuannya itu kelihatan tidak stabil, trauma dan tidak tahan dengan kesakitan yang dialami.

"Bukan dia sahaja trauma, saya sebagai bapa pun trauma...siapa tidak marah apabila anak terpaksa berdepan keadaan seperti itu.

"Sebab itu juga, kami setakat ini tidak mahu berjumpa wakil restoran yang menyatakan hasrat bertemu.

"Sekarang kami tumpukan pada proses pemulihannya. Kesan lecurnya perlu dicuci di klinik setiap hari," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Zack turut meluahkan kekecewaan terhadap segelintir pihak, termasuk wakil restoran terbabit yang membangkitkan fakta kejadian mengelirukan sehingga menimbulkan pertikaian di media sosial.

Katanya, dalam kejadian di antara jam 8.30 malam hingga 9 malam itu, beliau sedang menguruskan tempahan dibuatnya terlebih dahulu di kaunter sebuah restoran di Balok dan tidak lama kemudian mendengar anaknya menjerit kesakitan.

"Saya lihat anak sudah terduduk dan saya meluru ke arahnya. Saya lihat ada kesan sup tom yam dan terus membawanya ke sinki untuk menjirus air pada kesan melecur.

"Saya melalui kaunter dan memberitahu mengenainya dengan nada marah. Saya terus mengarahkan keluarga ke kenderaan untuk menghantar anak ke klinik dengan segera.

"Ketika di kereta itulah pengurus restoran datang dan bertanyakan apa terjadi. Saya marah apabila dia tanya lagi sedangkan saya sudah beritahu sebelum itu.

"Ketika kami hendak bergerak dia 'campak' sesuatu dalam kereta, selepas anak dirawat baharu saya nampak dua keping nota RM100," katanya.

Beliau juga sudah berbincang dengan peguam yang menasihatnya membuat laporan polis dan perubatan.

Zack sudah membuat laporan di Balai Polis Kuantan dan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), semalam.

"Kami membuat laporan polis di atas kecuaian, kebiadapan dan sikap tidak bertanggungjawab restoran berkenaan seperti yang berlaku dalam insiden berkenaan.

"Tiada seorang pun daripada mereka menghubungi kami sedangkan kami ada meninggal nombor telefon ketika membuat tempahan dan aduan pada malam sama.

"Hanya semalam ada yang menghubungi kami," katanya.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments