Suspek tipu bina rumah dibebas dengan jaminan

SEREMBAN: Dua eksekutif syarikat yang dipercayai terbabit dalam penipuan skim pembinaan rumah mampu milik di beberapa negeri yang direman di sini, semalam, dibebaskan dengan jaminan polis, petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintendan Azrul Hisham Mohd Shaffie, berkata kedua-dua lelaki berusia 30 dan 45 tahun itu dibebaskan selepas tempoh reman tamat hari ini.

"Kita sudah melengkapkan kertas siasatan kes itu dan akan menyerahkannya kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mahkamah Khas Reman di sini, semalam membenarkan perintah reman selama dua hari terhadap kedua-dua lelaki itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan berkaitan laporan seorang lelaki yang diperdayakan seorang wanita daripada syarikat mereka untuk pembinaan sebuah banglo berharga RM60,000 di Nilai.

Kedua-dua mereka turut disiasat berkaitan skim penipuan sama di beberapa negeri lain, bersama-sama seorang lagi suspek yang juga seorang pelakon mendakwa diri bergelar Datuk.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani sebelum ini berkata, polis menerima 188 laporan berkaitan penipuan jualan rumah membabitkan dua syarikat dengan nilai kerugian RM6.2 juta.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments