SHAH ALAM: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini, tegang apabila seorang wakil rakyat DAP mengeluarkan perkataan ‘bodoh’ kepada wakil BN.
Ketegangan itu tercetus apabila Datuk Teng Chang Khim (DAP-Sungai Pinang) mengeluarkan perkataan itu ketika Halimaton Shaadiah Bohan (BN-Kota Damansara) berbahas Bajet Selangor 2018.
Ketika berbahas, Halimaton Shaadiah menyentuh mengenai peruntukan pembangunan dan membangkitkan isu kenderaan terbiar di kawasan pangsapuri sehingga mengehadkan tempat letak kereta.
Kemudian, Chang Khim bangun mencelah dengan menyifatkan perkara yang dibangkitkan Halimathon itu tidak mempunyai kaitan dengan perkara yang dibahaskan.
Bagaimanapun, Halimathon mempertahankan kenyataan beliau kerana isu kenderaan terbiar di kawasan pangsapuri adalah serius serta memerlukan peruntukan khusus untuk menunda serta meletakkannya di kawasan tertentu.
“Sepatutnya Sungai Pinang (Chang Khim) biarkan saya habiskan ayat. Jangan potong apa yang saya cakap,” katanya.
Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) kemudian bangun mempersoalkan sikap Chang Khim yang enggan menghormati cadangan Halimathon menyebabkan berlaku pertikaman lidah antara mereka, sebelum Chang Khim mengeluarkan perkataan ‘bodoh’, sekali gus menimbulkan ketidakpuasan hati ADUN BN.
Keadaan itu memaksa Speaker DUN, Hannah Yeoh meredakan keadaan dengan meminta semua pihak bertenang.
Sulaiman kemudian meminta Chang Khim menarik balik perkataan itu selaras dengan Peraturan 36 (6).
Namun, Chang Khim enggan menarik balik dengan mendakwa perkataan itu tidak ditujukan terhadap mana-mana ADUN BN.
Berikutan itu, Datuk Abdul Shukur Idrus (Kuang-BN) bangun mempersoalkan sikap Chang Khim itu.
“Kalau macam itu, semua orang boleh cakap bodoh. Saya boleh cakap Sekinchan (ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim) bodoh dan semua yang ada dalam Dewan ini bodoh,” katanya.
Comments
comments
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments