KOTA BHARU – Pengalaman berlapar di pusat pemindahan ketika bah-bah terdahulu terus menjadi igauan ngeri sehingga ada di antara penduduk di Kampung Melor, di sini, enggan berganjak dari rumah masing-masing pada banjir kali ini.
Sebab-musabab keengganan mereka gagal patuhi arahan pihak berkuasa untuk berpindah seharusnya dipandang serius pihak berwajib kerana bukan perkara baru dan bertindak mencari jalan penyelesaian terbaik sekali gus menyelamatkan nyawa pada gelombang pertama bah akhir tahun 2017.
Seorang penduduk, Izran Razak, 39, berkata, pengalaman lalu terutama ketika bah pada awal tahun 2017 dirasakan cukup perit untuk diingati apabila terpaksa bersesak-sesak di sebuah tempat perpindahan dalam keadaan tidak selesa dan kurang makanan.
“Keluarga saya besar kerana kami memang berasal dari sini (Melor). Ketika banjir awal tahun ini, kesemua ahli dari sembilan keluarga terdiri daripada 40 orang bersama ratusan mangsa lain berada dalam satu pusat pemindahan mangsa banjir di satu lokasi selamat.
“Keadaan pusat pemindahan itu sesak dan sangat menyedihkan. Oleh sebab terlalu ramai, kami sekeluarga duduk di dalam surau di bahagian belakang. Apabila makanan sampai, hanya yang depan sahaja yang dapat makan,” katanya.
Menurutnya, pusat pemindahan itu didakwa tidak diurus dengan baik dan makanan dimasak di tempat lain serta dibawa ke pusat itu, namun kuantitinya tidak mencukupi menyebabkan sebahagian besar kelaparan.
“Masa tu dah macam darurat, hendak keluar cari makan di luar pun, tidak ada kedai yang buka, jadi kami terpaksa berlapar, tidak makan nasi sebaliknya hanya makan sedikit kuih daripada pihak yang berhati mulia memberi sedekah.
“Sebab itu, kami jadi serik dan bertambah perit serta membebankan sebab saya penghidap penyakit tulang yang kronik apabila berada di pusat pemindahan yang tidak diurus dengan baik oleh pihak berkenaan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Zainah Ismail, 40, berkata, berada di pusat pemindahan bukan sahaja terpaksa berebut untuk mendapatkan makanan, malah dakwanya keperluan asas lain seperti air kerap terputus menambahkan lagi keperitan mangsa banjir yang sememangnya sudah dalam kesusahan.
“Nak makan kena berebut, nak buang air pun berebut, air pula sekejap ada sekejap tak ada langsung dan apabila ramai sangat guna, tetapi tak ada yang urus dengan betul, tandas berbau busuk, tetapi terpaksa juga guna sebab tidak ada pilihan lain.
“Bukan sebab kami degil atau tidak fikirkan keselamatan diri dan keluarga, tetapi berada di rumah lebih baik daripada beradi di pusat pemindahan sebab kami tidak kelaparan kecuali keadaan benar-benar memaksa, kami pindah juga,” katanya.
Zainah berkata, setakat ini sudah empat kali pihak bomba datang untuk membawa mereka sekeluarga berpindah kerana air sudah naik hampir setinggi semeter, namun mereka masih lagi mahu berada di rumah sehingga keadaan benar-benar dirasakan tidak selamat.
“Kalau pindah sekalipun, kami tidak mahu duduk di pusat pemindahan dan akan menumpang rumah waris yang lain daripada bermalam di pusat itu dan dalam masa sama kami berdoa semoga banjir kembali surut supaya kami tidak perlu berpindah.
“Kami juga mengharapkan perubahan dilakukan pihak berkenaan terhadap pusat-pusat pemindahan kerana kami bukanlah mahu layanan macam ‘raja’, tetapi janganlah sampai kelaparan dan bersesak-sesak,” katanya.
Comments
comments
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments