KUALA LUMPUR: “Maaf cakap, pasukan kebangsaan sekarang dah macam sarkas. Cuma sarkas ini tak buat kita gelak, tapi buat kita marah lebih-lebih dengan persembahan yang diberikan. Jadi ketua persembahan itu kenalah buang, ganti dengan orang yang lebih baik.”
Demikian metafora yang diberikan bekas penyerang lincah skuad kebangsaan, Hassan Sani apabila membandingkan skuad Harimau Malaya ketika ini umpama satu pentas sarkas yang gagal menggembirakan peminatnya berikutan persembahan hambar ahli sarkas.
Jelas legenda bola sepak negara itu, beliau hampir hilang kata-kata apabila melihat permainan mereka di Buriram, Thailand yang menyaksikan skuad kendalian Nelo Vingada tumbang sebanyak dua kali kepada Korea Utara dengan jaringan 1-4 dalam aksi Kumpulan B kelayakan Piala Asia 2019.
Apa yang lebih mengundang persoalan mengenai keputusan Vingada yang langsung tidak membariskan pemain dari Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi kedua itu, sedangkan mereka adalah tonggak harapan untuk membantu pasukan memburu kemenangan.
“Macam sarkaslah… Saya tak percaya beliau (Vingada) tidak mahu turunkan pemain JDT kerana kita tahu kelompok pemain bintang tempatan semuanya ada di sana.
SKUAD kendalian Nelo Vingada tumbang sebanyak dua kali kepada Korea Utara pada aksi Kelayakan Piala Asia 2019, sebentar tadi. – Foto Naim Mahamud / www.asiana.my
“Kalau saya jurulatih, sudah tentu saya akan turunkan mereka. Jika ada yang mengalami kecederaan, bukan semuakan. Itulah saya kata tadi, pasukan kita macam sarkas.
“Walau apa pun, benda dah jadi dan jurulatih perlu bertanggungjawab dengan keputusan itu dengan beliau harus berundur,” katanya yang terkenal dengan jolokan ‘Lipas Kudung’ kerana kelincahan dan kepantasannya di tengah padang.
Perjuangan Malaysia dalam saingan kelayakan Piala Asia 2019 berkubur selepas mengalami kekalahan kedua berturut-turut kepada Korea Utara yang menyaksikan pasukan negara kekal di tangga tercorot kumpulan dengan mengumpul satu mata selepas lima perlawanan.
Skuad kebangsaan akan melengkapkan aksi terakhir kumpulan berdepan Lubnan di gelanggang lawan pada 27 Mac depan.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments