KUALA LUMPUR: Beraksi kali pertama pada perlawanan akhir peringkat senior ternyata memberi banyak pengajaran berguna buat naib juara remaja dunia, Leong Jun Hao yang tumpas kepada Iskandar Zulkarnain Zainuddin di Cabaran Antarabangsa Malaysia semalam.
Jun Hao yang juga juara remaja Asia, mengakui bermain di kejohanan peringkat senior tidak semudah berbanding perlawanan remaja.
"Kami tidak boleh mendapat mata yang mudah namun saya tetap berasa seronok dapat beraksi buat kali pertama di saingan akhir peringkat senior. Mungkin saya tidak berasa tertekan berbanding beraksi di saingan akhir peringkat remaja," kata pemain dari Kuala Lumpur itu.
Jelas pemain berusia 18 tahun itu, taraf pemain yang beraksi pada kejohanan bertaraf Cabaran Antarabangsa berbanding pemain remaja juga tidak terlalu jauh namun dia akur dengan kekalahan kepada Iskandar.
"Mungkin tahap permainan pemain di kejohanan bertaraf Grand Prix dan Siri Super ada perbezaan. Bagaimanapun, paling penting buat saya adalah untuk terus berlatih lebih keras seterusnya mencapai ke tahap berkenaan.
"Selepas ini, tumpuan saya terarah kepada dua kejohanan di India, Cabaran Antarabangsa dan Siri Antarabangsa namun ia bergantung kepada tahap kecederaan yang dialami ketika di Johor," kata Jun Hao.
Jun Hao mengalami kecederaan di bahagian paha tetapi mengakui tidak terlalu serius kerana hanya kekejangan otot.
Semalam, Iskandar berjaya merangkul kejuaraan sulung musim ini selepas mengalahkan Jun Hao, 21-11, 21-13 pada final.
Bagaimanapun, Iskandar mengakui lawannya itu bersama Lee Zii Jia berpotensi untuk menjadi pengganti jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments