Kadar GST kekal 6 peratus selepas PRU-14

KUALA LUMPUR: Kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) enam peratus ketika ini tidak akan ditukar kepada kadar lebih tinggi selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz, menegaskan perkara itu bagi menolak dakwaan kononnya ada laporan dari Bank Dunia mencadangkan kerajaan sepatutnya menaikkan kadar GST sehingga tujuh peratus.

"Kerajaan tidak bercadang menaikkan kadar GST enam peratus kepada mana-mana kadar walaupun selepas PRU-14.

"Mungkin ada setengah pihak mencadangkan perkara itu atas sebab tertentu tetapi buat masa ini, kerajaan tidak bercadang mengkaji, apatah lagi menaikkan kadar GST pada masa depan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Kewangan (No.2) 2017 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menjawab celahan Wong Chen (PKR-Kelana Jaya) yang meminta kepastian sama ada wujud laporan itu daripada Bank Dunia, Othman yang juga Ahli Parlimen Jerlun, berkata tidak pernah terbaca mengenai perkara itu.

Sementara itu, Rang Undang-Undang Kewangan (No.2) 2017 bertujuan meminda Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 dan Akta GST 2014 diluluskan tanpa pindaan dengan lebih suara bersetuju.

Terdahulu ketika membentangkan Rang Undang-Undang Kewangan (No.2) 2017 untuk bacaan kali kedua, Othman berkata, rang undang-undang itu bagi membolehkan pelaksanaan langkah percukaian diumumkan dalam Bajet 2018, di samping melaksanakan keputusan kerajaan berkenaan penambahbaikan pentadbiran cukai yang memerlukan pindaan terhadap tiga akta berkenaan.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments