SCENIC platform elak pertindihan bantuan PKS

KUALA LUMPUR: Sebuah pangkalan data bersepadu atas talian, SME Central Incentives Systems (SCENIC), dilancarkan hari ini bagi menambah baik penyaluran bantuan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), termasuk mengelakkan pertindihan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, melancarkan inisiatif itu ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Perusahaan kecil dan Sederhana (MPPK) ke-23, di SME Corporation (SME Corp) di sini, hari ini.

Najib berkata inisiatif atas talian itu akan dapat memastikan pengagihan sumber dilaksanakan secara lebih optimum.

Katanya, SCENIC adalah pangkalan data bersepadu bagi penerima bantuan kerajaan menerusi program pembangunan PKS yang dilaksanakan oleh kementerian dan agensi kerajaan terbabit dengan pembangunan PKS negara.

"Sebagai pangkalan data pusat bagi penerima bantuan kerajaan, SCENIC menjadi rujukan penting bagi mengelak pertindihan dan mengoptimumkan sumber," katanya.

Teks ucapan aluan Najib dikeluarkan kepada media selepas mesyuarat itu.

Mesyuarat berkenaan dihadiri 16 menteri dan timbalan menteri yang bertanggungjawab terhadap pembangunan PKS di Malaysia.

SCENIC dibangunkan oleh SME Corp bagi meningkatkan ketelusan pelaporan dan penyelarasan program PKS.

Perdana Menteri turut melancarkan drama mini bersiri Chor & Chah musim kedua sebagai bahan maklumat dalam talian berkaitan keusahawanan kepada PKS di Malaysia yang diterbitkan oleh SME Corps dan SME Bank.

Dalam pada itu, Najib berkata platform Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang dilancarkannya bersama Pengasas Alibaba Group, Jack Ma pada 3 November lalu, sehingga kini disertai 1,997 PKS yang bersedia mengeksport produk menerusi platform berkenaan.

Katanya, melalui DFTZ yang pertama di dunia itu, eksport PKS dijangka dapat ditingkatkan sebanyak AS$38 bilion (RM155 bilion) dan menjana 60,000 pekerjaan baharu menjelang tahun 2025.

"Saya harap semua ahli majlis akan meningkatkan lagi usaha untuk merealisasikan matlamat ini dan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE)  dan SME Corp," katanya.

Sementara itu, Najib berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada kadar 6.2 peratus dan kadar pertumbuhan guna tenaga pula dua peratus bagi suku ketiga tahun ini.

"Kadar produktiviti buruh juga meningkat sebanyak 4.2 peratus, lebih tinggi daripada sasaran purata pertumbuhan tahunan 3.7 peratus ditetapkan dalam Rancangan Malaysia ke-11 bagi tempoh 2016 hingga 2020," katanya.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments