MANTAP digerakkan mendekati golongan muda

KUALA LUMPUR : Peserta Program Internship Mahasiswa Turun Parlimen VII (MANTAP) akan digerakkan mendekati golongan muda bagi membantu Barisan Nasional (BN) terus mendapat mandat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kumpulan besar peserta MANTAP juga adalah usaha meremajakan BN ketika ada pihak mendakwa ia adalah parti lama.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO berkata masyarakat harus sedar kaedah dan corak kepemimpinan pemimpin BN sejak 1973 adalah silih berganti serta berbeza-beza walaupun parti itu lama memerintah.

"MANTAP harus mendekati golongan muda kerana jiwa mereka ada persamaan. Golongan muda yang menjadi tanggungjawab MANTAP untuk sampaikan mesej BN adalah kelompok yang 16 hingga 25 peratus berusia 25 hingga 21 tahun.

"Kita akan meremajakan umur pemimpin tetapi buktikan dahulu dengan kita menang PRU-14. Untuk jadi pemimpin, kita kena ada daya tahan lama, bukan macam sesetengah 'bahtera' (parti) yang ada enam nakhoda tetapi tiada hala tuju," katanya ketika Majlis Penutup MANTAP VII, di Parlimen, hari ini.

Ahmad Zahid mengumumkan ahli MANTAP akan diiktiraf sebagai ahli MANTAP sepanjang hayat bermula hari ini.

Beliau turut menyeru MANTAP diteruskan pelaksanaannya selepas ini menerusi program mengikut kawasan Parlimen masing-masing.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan untuk membantu sekretariat MANTAP mencari jalan menyambung elaun gerak kerjanya.

Ahmad Zahid berkata MANTAP bekerja untuk memenangkan calon kerana peserta MANTAP itu sendiri bakal menjadi pemimpin pada masa depan.

Seramai 100 graduan dipilih menyertai MANTAP VII menjalani latihan selama seminggu bersama Ahli Parlimen BN bagi memahami dan mempelajari usaha kerajaan mendekati rakyat serta tugas Ahli Parlimen.

Program edisi ketujuh itu mendapat sambutan memberangsangkan dengan menerima 1,368 permohonan dan daripada jumlah itu, hanya 150 pelajar menjalani saringan kedua sebelum 100 peserta terbaik dipilih.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments