Sidang Persatuan Nusantara Russia sarankan novel Interlok diterjemah

KUALA LUMPUR: Ahli akademik Russia menyarankan novel Interlok karya Sasterawan Negara (SN), Allahyarham Datuk Abdullah Hussain diterjemah ke bahasa Russia berdasarkan kekuatan jalan cerita dan sejarah pembentukan masyarakat berbilang bangsa negara ini.

Saranan itu dikemukakan oleh Dr Eugenia Kukushkina ketika membentangkan kertas kerja Tentang Realisme Liputan Peristiwa-Peristiwa Sejarah Malaysia pada Abad Ke-20 dalam prosa Melayu di Sidang Persatuan Nusantara yang berlangsung di Moscow, Russia.

Bekas pensyarah Universiti Malaya (UM), Dr Victor A Pogadaev, berkata novel Interlok disifatkan sebagai karya kesusasteraan kebangsaan yang memiliki panorama unik beberapa dekad sebelum kemerdekaan.

"Jalan ceritanya menarik dan bahasa Melayunya cantik, selain penuh dengan perumpamaan dan peribahasa yang memberi kesan keaslian yang hebat, sekali gus menjadikan karya itu layak untuk dibaca bagi generasi muda.

"Novel itu dengan jelas menjelaskan bagaimana terjadinya pembentukan masyarakat berbilang bangsa di Malaysia," katanya dalam kenyataan kepada BH di sini, hari ini.

Pogadaev berkata, dalam sesi perbincangan Sidang Persatuan Nusantara itu, peserta turut menyatakan matlamat utama pengarang Interlok adalah untuk menggambarkan nasib penduduk yang tipikal negara yang baharu itu.

"Watak utama bercakap dalam bahasa berbeza dan mempunyai kepercayaan dan minat berlainan sehingga mereka melalui beberapa konflik tetapi memperlihatkan azam bersama untuk perpaduan demi negara yang membuka peluang besar untuk semua kaum," katanya.

Persatuan Nusantara yang ditubuhkan pada tahun 1990 dianggotai felo penyelidik, profesor, pensyarah, pelajar dan siswazah dari sekolah, institusi akademik serta universiti di Moscow dan St Petersburg.

Ia bertujuan mengkaji wilayah pengguna bahasa Austronesia yang merangkumi Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Thailand, Vietnam, Filipina, Taiwan, Madagascar dan Oceania.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments