KUALA LUMPUR: Harga penanda aras Malaysia untuk minyak sawit mentah (MSM) tahun depan bergantung kepada harga minyak mentah global serta perubahan paras stok, kata penganalisis industri, Dr James Fry.
Katanya, penanda aras global harga minyak mentah Brent akan berada pada AS$60 setong tahun depan manakala harga MSM pula antara RM2,700 dan RM2,800 satu tan metrik.
"Apabila stok MSM tinggi, harganya akan jatuh. Tetapi apabila stok dijangka mula jatuh awal tahun depan, harga mungkin meningkat lagi kepada antara RM2,800 dan RM2,900 satu tan metrik.
"Jika harga minyak mentah Brent naik kepada AS$65 setong, harga MSM dalam ringgit akan menjadi RM100 hingga RM200 lebih tinggi," katanya pada hari pertama Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa 2017 (PIPOC 2017), di sini.
Fry, iaitu Pengerusi LMC International berkata, pengeluaran MSM tahun depan dijangka pulih daripada kesan buruk bencana El-Nino.
Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif United Plantations Bhd, Datuk Carl Bek-Nielsen mengunjurkan harga MSM akan berada antara RM2,400 dan RM2,600 satu tan metrik pada 2018.
"Secara umumnya anda akan menyaksikan penggunaan minyak dan lemak akan meningkat apabila ekonomi dunia bertambah baik.
"Faktor kedua yang memacu harga ialah cuaca. Cuaca buruk akan menjejaskan pengeluaran dan harga akan meningkat," katanya. - BERNAMA
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments