KUALA LUMPUR: Rafizi Ramli memberikan tips kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memenangi hati rakyat sekaligus Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Ahli Parlimen Pandan (PKR) itu berkata, Najib perlu memberikan subsidi minyak sebanyak RM0.20 sen setiap liter bagi bulan Disember 2017 hingga Januari 2018.
“Bulan Disember dan Januari adalah bulan yang paling susah buat rakyat. Sekolah hendak dibuka, hendak bayar yuran sekolah, beli kasut lagi,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Semalam, harga minyak mencatat kenaikan untuk kali keempat berturut-turut sejak 11 Oktober. RON95 mencatat kenaikan RM0.07 sen mencecah kadar RM2.31 seliter.
RON97 pula mencatatkan kenaikan RM0.06 sen seliter dengan kadar baru sebanyak RM2.60 sen seliter sebelum harga asal RM2.54 seliter pada minggu lalu. Harga diesel juga naik RM0.03 sen kepada RM2.20 sen seliter.
Rafizi berkata, kenaikan harga minyak semalam merupakan kenaikan termahal sejak Najib bertugas sebagai menteri kewangan selepas Pilihan Raya Umum 2008.
“Penggunaan purata tahunan petrol dan diesel adalah sebanyak 27 bilion liter seperti jawapan yang diberikan Najib kepada soalan Parlimen saya. Purata penggunaan petrol dan diesel setiap bulan adalah 2.25 bilion liter.
“Subsidi RM0.20 sen setiap liter hanyalah melibatkan peruntukan RM900 juta bagi Disember 2017 ke Januari 2018. Ia hanyalah lebih kurang 25% sahaja dari pendapatan luar jangka yang dikutip Najib sejak awal tahun ini,” katanya.
Rafizi juga berkata, kerajaan persekutuan akan mendapat “durian runtuh” apabila harga petrol dan diesel naik.
“Kerajaan akan mendapat kutipan cukai pendapatan syarikat yang lebih tinggi, kutipan cukai pendapatan petroleum juga akan lebih tinggi serta kutipan cukai pendapatan individu.
“Bahkan, kutipan cukai barangan dan pendapatan (GST) juga akan lebih tinggi kerana RON97 dan produk berasaskan petroleum dikenakan GST. Selain itu, kerajaan juga akan mendapat royalti petroleum tinggi, serta dividen tinggi dari Petronas,” katanya.
Comments
comments
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments