WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Rex Tillerson berkata hari ini, rakyat Zimbabwe perlu dibenarkan memilih kerajaan sendiri menerusi pilihan raya demokratik susulan rampasan tentera.
Tillerson berkata, semua pihak perlu bekerja bersama untuk kembali kepada pemerintahan awam menurut perlembagaan.
"Kita semua perlu bekerja bersama untuk kembali dengan segera kepada pemerintahan awam mengikut perlembagaan negara," katanya sebelum rundingan bersama menteri luar Afrika.
Terdahulu, Presiden Zimbabwe Robert Mugabe membuat kemunculan menentang dalam satu majlis graduasi universiti, namun kuasa di ibu kota ini jelas beralih ke tangan tentera.
Washington bukan rakan Mugabe yang memerintah Zimbabwe selama 37 tahun sepanjang kemerdekaannya, namun masih ragu-ragu mempertahankan rampasan kuasa tentera itu.
Kesatuan Afrika (AU) yang mengambil pendekatan tegas ke atas pengambilalihan tentera terbaharu, menyerahkan kes itu di tangan blok serantau Afrika Selatan diketuai SADC (Komuniti Pembangunan Afrika Selatan).
Laporan dari rantau itu mendakwa Afrika Selatan menyedari pelan tentera Zimbabwe, dilancarkan selepas Mugabe, 93, memecat Naib Presiden Emmerson Mnangagwa.
Secara kebetulan, Tillerson menganjurkan satu mesyuarat dirancang sebelum itu bersama 36 menteri luar Afrika di Washington.
Wakil atasan AS itu yang berkata, beliau bercadang melawat benua itu awal tahun depan menggesa tetamu melihat krisis itu sebagai peluang menolak Zimbabwe ke arah pembaharuan lebih bermakna.
"Zimbabwe memiliki peluang menetapkan dirinya di laluan baharu yang termasuk pilihan raya demokratik dan menghormati hak asasi manusia.
"Pada akhirnya, rakyat Zimbabwe perlu memilih kerajaan mereka," katanya, menegaskan sambil menggesa tetamunya membincangkan cara lebih konkrit membantu peralihan itu. -AFP
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments