RapidKL bongkar salahguna kad OKU, pelajar untuk dapat diskaun 50 peratus

Image may contain: one or more people and phone

KUALA LUMPUR: Rapid KL membongkar kegiatan pengguna tren dan bas yang menyalahgunakan kad konsesi MyRapid milik orang lain untuk mendapatkan diskaun perjalanan.

Bertindak atas maklumat, risikan dan analisis, buat pertama kali satu operasi besar-besaran dilakukan oleh pasukan pemantau Rapid KL selama dua hari bermula kelmarin di stesen LRT dan MRT sekitar Lembah Klang.

Hasilnya sebanyak 81 kad konsesi dirampas daripada individu yang bukan pemilik sebenar yang mana 48 adalah kad konsesi pelajar, warga emas (31) dan dua lagi kad konsesi Orang Kurang Upaya (OKU).

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Datuk Zohari Sulaiman, berkata kad konsesi itu diberikan khusus kepada golongan OKU, pelajar dan warga emas bagi membolehkan mereka menikmati kadar diskaun tambang 50 peratus bagi semua perkhidmatan kendalian Rapid KL.

Bagaimanapun, pihaknya mendapati kemudahan itu disalah guna dan diberikan kepada orang lain untuk mendapatkan keistimewaan itu.

“Berdasarkan risikan, kami dapati ada pelajar diperalat oleh ahli keluarga mereka untuk memohon kad konsesi pelajar tetapi bukan dia yang menggunakan kad itu.

“Sebaliknya, ahli keluarga yang menggunakannya untuk berulang alik ke tempat kerja. Ada juga kes warga emas memberikan kad konsesi mereka kepada individu lain dalam keluarga bagi tujuan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, tindakan pemilik memberikan kad konsesi kepada orang lain adalah tidak bertanggungjawab serta menyalahi undang-undang.

Justeru, katanya, mereka yang didapati melakukan kesalahan itu akan disenarai hitam seterusnya menyebabkan hilang kelayakan untuk memiliki semula kad berkenaan.

“Harus diingatkan bahawa kad konsesi MyRapid tidak boleh dipindah milik seperti mana tertakluk dalam terma dan syarat.

“Operasi seumpamanya akan diperhebat dari semasa ke semasa dan kita juga akan menambah bilangan anggota pasukan pemantau sehingga tiada lagi yang berani melanggar undang-undang” katanya.

Pada masa sama, beliau meminta pengguna memberikan kerjasama untuk menunjukkan kad berkenaan ketika diminta oleh kakitangan dan polis bantuan yang bertugas.

Beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan penyalahgunaan kad konsesi itu dengan menghubungi talian khidmat pelanggan Rapid KL di 03-7885 2585 atau berhubung terus menerusi Facebook dan Twitter Rapid KL, @MyRapidKL.

Comments

comments



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments