20,000 mati akibat rokok setiap tahun

PUTRAJAYA: Jumlah kematian yang tinggi dalam kalangan individu dari kumpulan yang masih produktif sebagai pekerja akibat rokok adalah membimbangkan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Memetik laporan tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 oleh Kementerian Kesihatan beliau berkata rokok direkodkan sebagai penyumbang utama kematian dengan 20,000 kematian setiap tahun.

Katanya, kajian itu juga menunjukkan 22.8 peratus atau lima juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun dan ke atas adalah perokok, dengan mereka yang berumur 20 hingga 54 tahun adalah perokok tertinggi, majoritinya lelaki.

“Golongan ini adalah kumpulan yang masih produktif sebagai pekerja dan boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Sudah tentu kehilangan produktiviti akibat masalah kesihatan termasuk yang diakibatkan penggunaan hasil tembakau, mendatangkan kebimbangan kepada kerajaan,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah dan Pengiktirafan Kempen Riben Biru 2019 di sini, hari ini.

Dr Dzulkefly menegaskan, tabiat merokok juga adalah faktor utama kepada risiko berlakunya penyakit jantung dan saluran pulmonari, menyumbang kepada 15.7 peratus daripada 20,000 kematian yang direkodkan.

Katanya, lebih membimbangkan apabila satu pertiga atau 2.8 juta penduduk negara ini adalah perokok pasif, yang turut mengalami kesan kesihatan negatif seperti perokok aktif.

Dr Dzulkefly berkata pelaksanaan Kempen Riben Biru menjadi inisiatif terbaik ke arah mengurangkan amalan merokok, sekali gus menjadi sokongan kepada usaha kerajaan dalam mewartakan tempat awam sebagai kawasan larangan merokok.

Tambah beliau, pewartaan larangan merokok di semua premis makanan berkuatkuasa Januari tahun depan juga diasaskan daripada program riben biru, yang dimulakan 117 premis makan awam secara sukarela, menetapkan larangan merokok di kedai masing-masing demi menjaga kepentingan pelanggan yang tidak merokok.

“Ini menunjukkan sokongan padu pengusaha kedai makan dalam menjaga kesihatan rakyat Malaysia walaupun pada ketika itu tempat makan terbuka masih belum diwartakan,” katanya.

Pada majlis itu, sebanyak 181 premis dan komuniti menerima pengiktirafan premis bebas asap rokok dalam tiga kategori iaitu Anugerah Blue Ribbon Beyond membabitkan tujuh premis awam, Anugerah Blue Ribbon (154) dan Anugerah Blue Ribbon Komuniti (20).

Diperkenal sejak 2013, Kempen Riben Biru adalah satu program inisiatif Kempen Malaysia Bebas Asap Rokok, bertujuan mengiktiraf individu, organisasi serta komuniti yang memberikan sumbangan bermakna untuk melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok. - BERNAMA



Sumber : 20,000 mati akibat rokok setiap tahun

Post a Comment

0 Comments