LABUAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berangkat tiba di sini hari ini bagi melakukan lawatan bermula hari ini hingga esok.
Pesawat khas membawa Seri Paduka bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, mendarat di Lapangan Terbang Labuan di sini, pada kira-kira jam 2 petang dan diberi sambutan hamparan permaidani merah.
Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa; isteri Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaitun Abu Bakar; Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Seri Syed Hussein Al Habshee; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman dan ketua jabatan serta agensi kerajaan.
Sejurus ketibaan, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memimpin bacaan doa.
Lawatan ke perkhidmatan kewangan antarabangsa Labuan ini adalah lawatan sulung Sultan Abdullah sejak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lalu.
Seri Paduka berdua dijadual berangkat menyempurnakan perasmian Kompleks Anak Yatim dan Asnaf Darul Kifayah petang ini, sebelum menghadiri Majlis Rahmah Bersama Rakyat dan Pengurniaan Bantuan Kepada Asnaf di Dewan Konvensyen, Kompleks Ujana Kewangan pada sebelah malam.
Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadual berangkat pulang ke ibu negara pada esok harinya. – BERNAMA
Sumber : Agong berangkat tiba di Labuan
0 Comments