PETALING JAYA: Infinitium Holdings Sdn Bhd sedang membangunkan platform yang membolehkan pengguna untuk membuat transaksi pembelian dalam talian menggunakan kad debit sama seperti yang diguna pakai pada kad kredit.
Ketika ini, transaksi menggunakan kad debit adalah tidak secekap kad kredit kerana selain dikehendaki mengisi 16 digit dan tarikh luput pada kad sebagai mod pembayaran, pengguna juga perlu memiliki perbankan internet.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ho Ching Wee, berkata pihaknya telah ditugaskan untuk mereka bentuk dan membangunkan rangka kerja pembinaan platform berkenaan dan telah memulakan peringkat pertamanya yang dijangka siap pada akhir tahun ini.
Katanya, peringkat pertama itu membabitkan reka bentuk keseluruhan rangka kerja terbabit dan apabila sudah siap, pihaknya akan meneruskan dengan peringkat kedua.
“Peringkat kedua ini membabitkan pembangunan keseluruhan aplikasi ini dan kita mengharapkan yang ia akan dapat dilancarkan pada Oktober tahun depan,” katanya kepada BH, ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Infinitium ialah penyedia perkhidmatan penyelesaian pembayaran elektronik dan menawarkan perkhidmatan kepada 50 bank di Malaysia dan Asia membabitkan jumlah pemegang kad sebanyak 180 juta orang.
Mengulas lanjut mengenai mod pembayaran kad debit pada masa ini Ching Wee berkata, antara cabaran dihadapi pemegang kad debit ialah pertama mereka mesti mempunyai akaun perbankan internet.
Katanya, jika pemegang kad tidak mempunyai akaun berkenaan, maka transaksi kad debit itu tidak boleh dilakukan.
“Selain itu setiap bank mempunyai kaedah pemprosesan pembayaran yang berbeza-beza seperti dari segi cara pengesahan dilakukan dan bagaimana caj dikenakan yang menyebabkan tiada keseragaman. Ini kadang-kala boleh mewujudkan kekeliruan di kalangan pengguna,” katanya.
Sehubungan itu katanya, syarikat ‘payment switch’ kini cuba mencipta satu rangka kerja yang berfungsi sama seperti sistem diguna pakai Visa atau MasterCard tetapi ia akan diproses di dalam negara, bukan oleh syarikat pembayaran antarabangsa itu.
“Pada masa akan datang, semua pemegang kad debit di Malaysia boleh melakukan pembelian dalam talian sama seperti kad kredit iaitu dengan hanya perlu mengisi 16 digit dan tarikh luput pada kad debit mereka dan kemudian terus menghantar permohonan transaksi itu.
“Bank kemudiannya akan menghantar pin sekali hantar (OTP) untuk tujuan pengesahan transaksi berkenaan,” katanya.
ends/
Sumber : Infinitium bangun platform pembayaran debit baharu
0 Comments