KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Akademi Twente FC, Dennis Bekking disifatkan sebagai individu yang tepat untuk mengemudi Akademi Mokhtar Dahari (AMD) memandangkan dia memenuhi kriteria yang diperlukan dalam bidang pembangunan akar umbi.
Malah, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NFDP, Safirul Azli Abu Bakar mengakui NFDP tampak bertuah apabila berjaya ‘menyambar’ Bekking terlebih dahulu kerana reputasinya yang sedang meningkat naik menyaksikan dia menjadi rebutan di benua Eropah.
Jelas Safirul, Bekking sememangnya orang yang sesuai untuk memikul tanggungjawab sebagai Pengarah AMD selepas mengambil kira latar belakangnya mengendalikan program akar umbi di Belanda serta pengalamannya dalam bidang pengurusan sukan.
“Berdasarkan apa yang saya tahu, dia memang ada prospek kerana jika NFDP tidak memilihnya pun, saya rasa pasukan lain akan mendapatkan khidmatnya. Mungkin dia lebih baik daripada apa yang kita ada sebelum ini.
“Difahamkan, dia berminat dengan program kita dan kita berjaya meyakinkan dia bahawa kita memang serius dengan pembangunan akar umbi selepas dia melihat NFDP dan AMD.
“Malah, kelayakan akademik yang dimilikinya juga memang sesuai dengan pembangunan akar umbi selain jaringan hubungannya di Eropah dijangka dapat memudahkan NFDP mendapat pendedahan di luar negara,” katanya.
Mengulas mengenai anggaran gaji yang bakal diterima Bekking, Safirul menjangkakan gajinya mungkin lebih kecil dan tidak setinggi seperti yang diterima oleh Lim Teong Kim sebelum ini.
“Saya tidak tahu nilai sebenar tetapi mungkin ia sekitar RM50,000-RM60,000 yang mana ini adalah purata gaji yang diterima pengarah akademi di Eropah.
“Apapun jumlah sebenarnya, saya yakin apa yang ditawarkan adalah gaji yang kompetitif dan berbaloi dengan apa yang dia ada,” katanya.
Terdahulu, sentuhan dari negara 'Total Football', Belanda ditagih Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selepas mereka melantik Pengarah Teknikal termuda di Liga Belanda itu menggantikan tempat Lim Teong Kim sebagai Pengarah AMD.
Perkembangan itu diumumkan Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengesahkan pelantikan Bekking adalah salah satu daripada inisiatif memperkemas Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) supaya ia dapat berjalan dengan lancar.
Sebagai rekod, Bekking memiliki Sarjana Kepemimpinan Sukan dari Universiti Salford, Belanda itu dengan kebanyakan ‘'sentuhannya' diaplikasikan di tanah airnya bermula dengan kerjaya bersama PEC Zwolle sebagai Ketua Bahagian Belia seterusnya Pengarah Akademi Twente FC sebelum menjadi Pengarah Sukan Go Ahead Eagles.
Sumber : Bekking pilihan tepat
0 Comments