
KUALA LUMPUR: Kedah hari ini mengumumkan setuju meminda enakmen berkaitan penetapan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun manakala Kelantan kekal dengan keputusan sebelum ini, 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun untuk lelaki bagi mengekang gejala sosial.
Sabah pula yang bersama empat negeri lain sebelum ini setuju meminda perundangan berkaitan had umur perkahwinan, hari ini turut tampil dengan komitmen untuk mencari pendekatan dan langkah terbaik bagi menangani isu perkahwinan bawah umur di negeri itu.
Lima negeri iaitu Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka dan Perak sebelum ini mengumumkan setuju meminda undang-undang berkaitan had umur perkahwinan manakala Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan, tidak setuju.
Selasa lalu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, memberitahu Dewan Rakyat kerajaan sedang menyiapkan Draf Pelan Strategik Kebangsaan bagi menangani isu perkahwinan bawah umur.
Draf itu akan membabitkan pindaan kepada Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 [Akta 303] dengan menetapkan umur minimum perkahwinan bagi wanita kepada 18 tahun.
Mengumumkan perkembangan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan negeri, Datuk Dr Ismail Salleh, berkata Kedah sedang ke arah menerima pakai saranan yang diharapkan Kerajaan Pusat.
Malah, katanya, satu mesyuarat sudah berlangsung kelmarin bagi membincangkan isu terbabit.
“Kita sebulat suara bersetuju untuk menyemak dan menilai semula akta dan garis panduan berkaitan dalam masa terdekat.
“Bagaimanapun, terdapat prosedur yang perlu diikuti selain kertas kerja yang perlu disiapkan dijangka mengambil masa selama tiga bulan sebelum ia boleh dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penyelarasan had umur minimum perkahwinan bagi orang Islam kepada 18 tahun adalah bertujuan menangani kesan negatif membabitkan kesihatan dan keselamatan kanak-kanak. Sebelum ini, had minimum bagi lelaki adalah 18 tahun manakala remaja perempuan mestilah 16 tahun.
“Bagaimanapun, kadar perkahwinan remaja bawah umur di Kedah tidaklah setinggi negeri Kelantan atau negeri-negeri lain,” katanya.
Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Norazlinah Arif, dalam sidang media di Kota Kinabalu pula menjelaskan pendekatan dan langkah terbaik akan dikenal pasti dalam menangani isu perkahwinan bawah umur di negeri itu.
Ini kerana perkahwinan bawah umur bukan hanya berlaku di luar bandar tetapi juga di bandar, justeru stigma masyarakat bahawa isu itu hanya berlaku di luar bandar perlu diubah.
“Masyarakat terlalu fokus kepada isu (perkahwinan bawah umur) di luar bandar tetapi kita tidak tahu di bandar juga mengalami isu sosial seperti ini,” katanya sambil menambah kes rogol membabitkan pelajar perempuan Tingkatan Dua di Tawau baru-baru ini jelas menunjukkan masalah sosial turut berlaku di kawasan bandar.
Di Kota Bharu, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri tidak akan mengubah pendirian dengan mengekalkan had usia perkahwinan iaitu 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun untuk lelaki dalam usaha mengekang masalah sosial di negeri itu.
"Ikut keputusan lama, kita tidak buat pembaharuan dan pembaikan," katanya.
Sumber : Had umur perkahwinan: Kedah setuju pinda, Kelantan kekal, Sabah cari jalan atasi
0 Comments