Masjid Daing Abdul Rahman tersenarai anugerah AFAMA

Kuala Lumpur: Keunikan seni bina dan peranannya sebagai pusat komuniti termasuk bagi masyarakat bukan Islam menjadi kriteria utama pemilihan Masjid Daing Abdul Rahman sebagai satu-satunya masjid di Malaysia yang disenarai pendek bagi Anugerah Seni Bina Masjid Abdullatif Alfozan (AFAMA) 2019.

Masjid yang terletak di Nusa Idaman, Johor Bahru itu akan melalui proses penilaian akhir bersama 26 masjid dari 16 lagi negara Islam pada Persidangan Antarabangsa Seni Bina Masjid (ICMA 2019) mulai 25 hingga 27 November depan di Muzium Kesenian Islam Malaysia.

Penilai Teknikal dari Pakistan, Hammad Husain, berkata pemilihan Masjid Daing Abdul Rahman selari dengan kegiatan pengimarahannya yang bersifat pelbagai dan tidak mengira kaum, bangsa dan agama.

Hammad Husain. - Foto Mustaffa Kamal

“Pengalaman saya ketika menziarahi masjid ini cukup mengujakan kerana aktivitinya cukup menyeluruh. Ia menyediakan kelas untuk pendidikan masyarakat setempat, aktiviti khusus untuk wanita termasuk bengkel masakan dan meraikan festival yang disambut orang bukan Islam.

“Perkara ini sukar untuk saya dapati di negara sendiri kerana kebanyakan masjid di sini cuma dimanfaatkan untuk solat dan selain daripada waktu itu ia akan dikunci,” katanya pada sidang media Anugerah Seni Bina Masjid Abdullatif Alfozan (AFAMA) 2019 dan Persidangan Antarabangsa Seni Bina Masjid (ICMA) 2019.

Sementara itu, Setiausaha Agung AFAMA 2019, Prof Mashary Abdullah AlNaim, berkata seni bina masjid memerlukan anjakan paradigma yang bersifat menyeluruh supaya ia tidak hanya dinilai daripada aspek luaran seperti reka bentuk kubah dan dekorasi semata-mata.

“Sebenarnya ada banyak perkara yang perlu ditonjolkan dalam seni bina masjid, namun ia kurang dibincangkan.

“Justeru, AFAMA 2019 cuba menonjolkan isu semasa berkaitan realiti seni bina masjid kontemporari supaya melaluinya boleh dilaksanakan penambahbaikan pada masa depan,” katanya.

Prof Mashary Abdullah AlNaim. - Foto Mustaffa Kamal

Dijangka enam hingga 10 institusi masjid yang akan dinobatkan sebagai penerima anugerah berkenaan dan masing-masing akan membawa pulang wang tunai AS$100,000 serta trofi dan sijil.

Acara itu yang diadakan secara tiga tahun sekali itu buat julung kalinya memilih Malaysia sebagai tuan rumah.

Serentak dengan ICAMA 2019, turut dianjurkan Pameran Seni Bina Masjid Abdulltif AlFozan (MAQAMAT) yang akan bermula Isnin ini sehingga 31 Januari depan.



Sumber : Masjid Daing Abdul Rahman tersenarai anugerah AFAMA

Post a Comment

0 Comments