Kertas dinding batang pisang jadi tarikan

JOHOR BAHRU: Seorang usahawan produk eko pertanian dari Kampung Sinaran Baru dekat Skudai di sini, berjaya menghasilkan inovasi kertas dinding daripada batang pisang.

Lebih membanggakan, produk kertas dinding batang pisang ilham dan ciptaan pemilik Nature Renascent, Asna Nabiha Aziz, itu berjaya menembusi pasaran di Amerika Syarikat (AS), Korea dan Jepun.

Asna berkata, beliau bersama pekerjanya melakukan sendiri proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) mencipta kertas dinding daripada batang pisang selepas mendapat inspirasi daripada lawatan eko pelancongan di sekitar negara ASEAN.

“Saya dibantu dua lagi pekerja mula menghasilkan kertas dinding daripada batang pisang menerusi R&D sendiri sebelum menemui kaedah terbaik bagi memastikan kertas dinding batang pisang kami bukan sahaja tahan lama malah berkualiti dan cantik.

“Alhamdulillah, selepas beberapa kali percubaan, kami berjaya menghasilkan kertas dinding batang pisang sejak Februari lalu, malah sudah ditempah dan dibeli pelanggan dari AS, Korea dan Jepun.

“Kini kami sedang menyiapkan tempahan pelanggan, selain bersedia memperkenalkan koleksi sulung kertas dinding batang pisang inovasi kami buat pertama kali kepada umum di Festival Kraf Johor bulan depan, ” katanya ketika ditemui BH di bengkelnya, hari ini.

Asna menerusi Nature Renascent, memulakan perniagaan menghasilkan produk eko pertanian daripada bahan buangan dan sisa pertanian terbuang termasuk daun nanas, daun buluh dan terbaru batang pisang sejak 10 tahun lalu.

Antara produk dikeluarkan termasuklah kertas nanas, benang dan fabrik daun nanas, kertas batang pisang, kotak tisu dan hantaran daripada batang pisang selain koleksi pelbagai jenis beg daripada fabrik nanas dan batang pisang dengan jenama Palmsy.

Asna berkata, produk eko pertanian koleksi ‘Palmsy’ keluarannya berjaya memenangi Anugerah Produk Cemerlang di sebuah festival dan pameran produk antarabangsa di Korea Selatan, Julai lalu.

Ditanya perancangannya, Asna berkata, beliau mahu memperluaskan pasaran produk eko pertaniannya ke AS dengan bekerjasama dengan agensi pendanaan awam selepas menerima jemputan rakan sekutunya di sana, yang mahu memasarkan produknya secara komersial dan meluas.

“Saya juga akan membuka sebuah kilang tempahan khas di Johor Bahru tahun depan, bagi membolehkan pelanggan menempah produk eko pertanian yang dimahukan mereka bagi tujuan dipasarkan semula atau tempahan secara pukal daripada agensi atau orang ramai berminat.

“Syarikat saya juga bercadang mengeluarkan pewarna semula jadi dihasilkan daripada bunga dan tumbuhan selain akan bekerjasama dengan seorang pereka fesyen terkenal di ibu negara bagi menghasilkan koleksi pakaian daripada fabrik nanas, “katanya.

Bagi yang berminat melihat koleksi barangan produk eko pertanian Asna boleh ke lama Facebooknya iaitu Nature Renascent dan Pal-my.com selain laman instagram di nature_renascent dan palmy_malaysia.

Tamat...



Sumber : Kertas dinding batang pisang jadi tarikan

Post a Comment

0 Comments