Tiada infrastruktur punca perniagaan trak makanan di Terengganu tak berkembang

KUALA TERENGGANU: Ketiadaan infrastruktur khusus untuk operasi perniagaan trak makanan atau ‘food truck’ di negeri ini menyebabkan industri itu masih kurang mendapat penyertaan usahawan tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, berkata kerajaan negeri sedar akan potensi perniagaan berkenaan dan peka dengan keperluan mereka untuk mendapatkan sokongan kerajaan negeri dalam membangunkan perusahaan itu ke tahap lebih baik.

Justeru beliau berkata, peruntukan RM150,000 dalam Belanjawan Terengganu 2020 akan menjayakan usaha itu, termasuk dalam menyediakan lokasi khas bagi trak makanan di kawasan yang akan dikenal pasti.

“Kita lihat perniagaan ini seperti mudah, apatah lagi di Lembah Klang ‘food truck’ tumbuh bagai cendawan dan berkembang maju. Mereka boleh parkir di mana-mana dan berniaga.

“Namun sebenarnya ia tidak sebegitu mudah. Usahawan trak makanan ini memerlukan bekalan tenaga elektrik yang mencukupi untuk beroperasi di satu-satu lokasi.

“Justeru kita yakin apabila kawasan khusus ini beroperasi nanti, ia akan merancakkan lagi penyertaan usahawan trak makanan di Terengganu,” katanya.

Beliau menjawab soalan Zuraida Md Noor (PAS-Wakil Wanita) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd Nurkhuzaini berkata, kerajaan negeri juga memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Koperasi Kakitangan Kerajaan Terengganu (KOKITAB) untuk menyediakan reka bentuk trak makanan yang lebih sesuai untuk usahawan negeri ini.

“Menerusi MoU ini, usahawan boleh mendapatkan reka bentuk trak yang sesuai dengan jenis perniagaan mereka, berbanding sebelum ini mereka perlu merekabentuk trak mengikut kehendak mereka,” katanya.

Sementara itu menjawab soalan Ridzuan Hashim (PAS-Buluh Gading) mengenai pembiayaan kepada usahawan dalam talian, Mohd Nurkhuzaini berkata, sejumlah RM245,000 disalurkan bagi tujuan itu sepanjang tahun ini.

“Antara syarat permohonan ialah mesti menjalankan perniagaan atas talian secara sepenuh masa dan menguruskannya sendiri, beroperasi di Terengganu dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Keutamaan diberi kepada usahawan yang pernah mengikuti kursus YPU dan akan dipantau untuk memastikan perniagaan mereka berkembang baik,” katanya.



Sumber : Tiada infrastruktur punca perniagaan trak makanan di Terengganu tak berkembang

Post a Comment

0 Comments