MRA rayu bantuan kecemasan Gaza

KUALA LUMPUR: Malaysian Relief Agency (MRA) akan melancarkan Tabung Kemanusiaan Gaza mensasarkan bantuan makanan asas dan susu tepung kepada kanak-kanak Palestin yang mengalami kekurangan makanan serta nutrisi.

Bantuan ini susulan serangan dilakukan tentera Israel ke atas wilayah Palestin baru-baru ini, yang mengorbankan 34 rakyat Palestin termasuk lapan kanak-kanak, sementara 660,000 kanak-kanak tidak dapat bersekolah.

Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman, berkata bagi bantuan awal ini, RM20,000 bantuan segera akan disalurkan kepada mereka yang terjejas.

Bagi menghadapi musim sejuk di sana, katanya, MRA akan menyediakan bantuan pakaian musim sejuk dan selimut kepada kanak-kanak serta keluarga mereka.

“MRA memohon rakyat Malaysia dapat menghulurkan sumbangan untuk membantu saudara kita yang menghadapi kesukaran di Gaza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya, MRA bersimpati kepada kanak-kanak yang tercedera akibat serangan ini yang sedang menerima rawatan di hospital.

“MRA berhasrat untuk membantu kanak-kanak tercedera ini kembali pulih dan aktif. Bantuan berupa khidmat fisioterapi, bantuan pembedahan serta perubatan akan diberikan oleh pakar perubatan di hospital dan pusat rawatan terpilih,” katanya.

Dalam pada itu, katanya MRA mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang dilakukan oleh Israel ke atas wilayah Palestin.

Katanya, serangan demi serangan itu mendatangkan kecederaan fizikal dan mental kepada kanak-kanak yang tidak berdosa di Palestin.

Insiden itu, kata beliau, akan bertambah buruk dengan kedatangan musim sejuk tidak lama lagi.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang ingin membantu boleh salurkan bantuan ke akaun CIMB Bank di nombor akaun : 86000 59478 di atas nama Malaysian Relief Agency Foundation.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-9174 4672 atau layari akaun Facebook Malaysian Relief Agency.



Sumber : MRA rayu bantuan kecemasan Gaza

Post a Comment

0 Comments